Summary: | Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti penerimaan pelajar terhadap pelaksanaan kurikulum Kursus Prinsip-prinsip Asas Islam (CTU 101) iaitu salah satu mata pelajaran Pendidikan Islam di UiTM. Tumpuan kajian adalah untuk melihat tahap serta hubungan penerimaan pelajar terhadap kursus tersebut daripada aspek kandungan, pengajaran dan penilaian. Kajian ini berbentuk kajian tinjauan yang melibatkan seramai 300 orang pelajar yang dipilih secara rawak dan soal selidik telah digunakan sebagai instrumen kajian. Kajian rintis telah dijalankan terhadap 30 orang responden untuk melihat kebolehpercayaan instrumen dengan menggunakan Alpha Cronbach. Nilai kebolehpercayaan Alpha Cronbach bagi kajian rintis ialah 0.960 dan 0.964. Satu set borang soal selidik yang mengandungi bahagian A (demografi responden) dan bahagian B, C, D dan E (Soalan yang berkaitan pembolehubah) telah digunakan. Data dianalisa menggunakan perisian SPSS versi 17.0 (Statistic Packages For Sosial Science) dan dilaporkan dalam bentuk statistik deskriptif berbentuk min, peratusan dan sisihan piawai serta statistik inferensi untuk melihat hubungan. Dapatan kajian menunjukkan pelajar menerima dengan baik pelaksanaan kurikulum kursus Prinsip-Prinsip Asas Islam (CTU 101) dengan purata min kandungan iaitu 4.1733 (tinggi), pengajaran 4.0693 (tinggi) dan penilaian 3.9996 (tinggi). Manakala analisa korelasi Pearson digunakan untuk melihat hubungan korelasi dan dapatan kajian menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara kandungan, pengajaran dan penilaian kursus dengan penerimaan pelajar terhadap pelaksanaan kursus tersebut. Skor yang tinggi serta terdapatnya hubungan antara ketiga-tiga aspek tersebut menggambarkan pelajar menerima dengan baik pelaksanaan kurikulum kursus Prinsip-Prinsip Asas Islam (CTU 101) di UiTM Kampus Kuala Terengganu. Beberapa aspek tertentu yang diteliti masih perlu dicari perhatian dan boleh ditingkatkan dalam usaha untuk membuang persepsi pelajar yang memandang rendah terhadap kursus Pendidikan Islam.
|