Summary: | Kajian ini bertujuan membincangkan ibadat bersuci, solat dan puasa yang melibatkan orang yang uzur secara khusus dari perspektif mazhab empat, bagi mencari satu penyelesaian yang terbaik dan memberi pengetahuan yang jelas kepada masyarakat melalui pandangan dan pendapat yang lebih memberi rukhsah kepada orang uzur dalam melaksanakan ibadat. Ini kerana pengetahuan masyarakat Islam tentang tatacara melakukan ibadat bagi orang uzur tidak difahami oleh semua lapisan masyarakat, sedangkan kewajipan melakukan ibadat merupakan satu kewajipan ke atas setiap orang Islam yang mukallaf sama ada yang sihat mahupun uzur. Metodologi yang digunakan dalam kajian ini melibatkan kajian keperpustakaan. Kajian ini tertumpu kepada pengumpulan maklumat-maklumat dari kitab-kitab fikah muktabar, usul fikah, kaedah fikah, syarah hadis dan kajian-kajian terdahulu. Data-data yang perolehi dianalisa berdasarkan metode induktif, deduktif dan komparatif. Hasil kajian mendapati orang yang uzur yang mempunyai akal fikiran yang waras tetap wajib melaksanakan ibadat bersuci, solat dan puasa mengikut kemampuan masing-masing berdasarkan rukhsah tanpa terikat dengan suatu mazhab tertentu asalkan berada dalam lingkungan dalil yang muktabar. Kajian ini juga mendedahkan tatacara pelaksanaan orang yang uzur dalam ibadat bersuci, solat dan puasa mengikut rukhsah yang dibenarkan syarak dan dengan pendedahan ini diharapkan dapat memberi kefahaman kepada masyarakat berkaitan orang yang uzur dalam melaksanakan ibadat dengan sempurna.
|