| Summary: | Syariat Islam menjamin serta menetapkan kemaslahatan manusia sebagai objektifnya. Antara maqasid yang utama dan terpenting adalah memelihara nyawa manusia yang sentiasa terdedah kepada pelbagai ancaman penyakit berjangkit yang mempunyai tahap bahaya yang berbeza-beza. Permasalahan timbul apabila para fuqaha' terdahulu tidak mendapat gambaran terhadap asas, faktor dan impak kemudaratan sesuatu pandemik serta tidak meneliti pandangan pakar perubatan dalam pembinaan fatwa sedangkan kemunculan pandemik sukar sekali dikawal sehinggalah penawar dan vaksin ditemui. Ia juga melibatkan banyak isu fiqh. Justeru objektif kajian ini adalah untuk mengetengahkan "perkaitan maqasidiyyah" antara Syariat Islam dan Sains Perubatan melalui penjelasan terhadap sesuatu pandemik, impak, kategori, sejauh mana ancamannya terhadap kesihatan manusia serta menganalisis pandangan ahli fiqh berhubung pesakit pandemik dari perspektif Maqasid Syarak. Kajian ini adalah berbentuk kualitatif. Pengumpulan data dibuat melalui penelitian terhadap dokumen berautoriti yang didapati dari buku pakar fiqh, hadith, Maqasid Shariah, sains perubatan serta lain-lain kajian kontemporari. Pengesahan turut dibuat kepada pakar-pakar bidang demi memastikan keabsahan maklumat perubatan yang digunakan. Data yang dikumpulkan, dianalisis secara deskriptif, dialektif, induktif dan istinbat berdasarkan sorotan kajian untuk merealisasikan objektif kajian. Kajian mendapati bahawa Syariat Islam sendiri menuntut maqasid pemeliharaan nyawa itu diaplikasi sepenuhnya dalam usaha menghadapi pandemik. Kajian turut menafsirkan hadis-hadis yang menafikan kebolehjangkitan penyakit sebagai suatu pendekatan psikoterapi untuk menghapuskan adat dan kepercayaan lama yang boleh memberi kesan negatif kepada jiwa manusia. Kajian mendapati setiap pandemik mempunyai tahap bahaya yang berbeza bergantung kepada jenis dan kaedah penularannya. Jika sesuatu wabak penyakit boleh tersebar secara sentuhan dan pergaulan, maka pesakit perlu dihalang dari menunaikan solat Jumaat, solat berjemaah, haji dan umrah. Langkah pencegahan ini, diambil jika pesakit tidak boleh diasingkan di kawasan tertentu atau belum ditemukan sebarang langkah khusus. Jenazah pesakit wajib dimandikan atau sekurangnya ditayamumkan jika tidak dibimbangiberlaku jangkitan. Manakala haiwan yang dijangkiti wabak penyakit tidak boleh digunakan untuk bayaran zakat, sembelihan mahupun aqiqah. Pihak pemerintah perlu menyekat pergerakan dan mengasingkan pesakit pandemik dari golongan yang sihat serta tempat-tempat perhimpunan awam demi mengelakkan penularan penyakit kepada masyarakat. Kesimpulannya, kajian ini menegaskan bahawa Syariat Islam dan Sains Perubatan bersepakat dalam melindungi manusia dari kemudaratan. Bahkan Syariat Islam ternyata mendahului dengan meletakkannya sebagai salah satu objektif dan komponen asas kepada keseluruhan perundangan Islam. Justeru, kajian menyarankan agar suatu bentuk kerjasama Islam di peringkat antarabangsa untuk bertukar-tukar kepakaran dalam membangunkan bidang sains perubatan dan pencegahan penularan sebarang bentuk bio-pandemik pada masa hadapan. Kajian turut menyarankan penubuhan sebuah institut penyelidikan sains perubatan antarabangsa khas yang bertindak mengumpulkan para pakar perubatan dan ulamak untuk menggiatkan aktivitiaktiviti persidangan, seminar, diskusi dan penerbitan jurnal ilmiah berkaitan isu ini.
|