Summary: | Pengenalan: Gaya pentadbiran sekolah merupakan elemen penting dalam proses pendidikan dan institusinya. Fungsinya ialah menyediakan kemudahan material, sokongan moral dan suasana yang kondusif kepada pihak yang terlibat supaya mencapai tujuan yang ditetapkan. Berdasarkan pemerhatian dan tinjauan, terdapat amalan sebelum ini di mana pemilihan pentadbir sekolah Arab swasta di Kuala Lumpur dilakukan tanpa penentuan kriteria yang jelas. Di samping itu terdapat juga beberapa kedutaan negara Arab yang turut terlibat dalam pemilihan ini. Hal ini memberi kesan kepada guru yang merupakan elemen utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran yg berkesan. Oleh itu, kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti pengaruh gaya pentadbiran terhadap motivasi guru dan perbezaan kesan gaya pentadbiran ini berdasarkan jantina, kelayakan dan pengalaman di peringkat sekolah rendah di sekolah Arab swasta di Kuala Lumpur. Metode: Kajian ini merupakan kajian kuantitatif dan menggunakan pendekatan analisis deskriptif dalam bentuk sisihan piawai, min, kekerapan dan peratus. Manakala statistik inferensi yang dijalankan ialah ujian-t dan Korelasi Pearson serta menggunakan perisian Pakej Statistik untuk Sosial Sains (SPSS). Instrumen yang digunakan ialah soal selidik yang telah diubahsuai berdasarkan kajian lepas bagi mencapai tujuan kajian dan pengumpulan data. lnstrumen soal selidik ini mengandungi dua bahagian. Pertama soal selidik berkaitan gaya pentadbiran dan bahagian kedua soal selidik berkaitan mengukur tahap motivasi guru. Kajian ini melibatkan seramai 68 orang guru bahasa Arab lelaki dan perempuan dari pelbagai negara Arab yang mengajar di lima buah sekolah Arab swasta di Kuala Lumpur. Keputusan: Hasil dapatan utama kajian ini mengesahkan semua hipotesis kajian yang telah dinyatakan dan mendapati pihak pentadbiran sekolah memahami tentang konsep, kaedah dan gaya pengurusan. Di samping itu, dapatan kajian menunjukkan bahawa penerapan gaya demokratik dalam pentadbiran meningkatkan kecekapan dan keberkesanan prestasi sekolah. Secara amnya pihak sekolah mempunyai kecenderungan dalam memberi latihan kepada guru. Namun begitu terdapat juga kelemahan dan kekurangan yang ditemui dalam kajian ini dari aspek penyediaan latihan kepada para guru. Dapatan kajian juga menunjukan bahawa gaya kepimpinan demokratik berlaku di sekolah Arab swasta di Kuala Lumpur diikuti oleh gaya kepimpinan autokratik di tempat kedua kemudian disusuli gaya kepimpinan laissez-faire di tempat ketiga. Hasil kajian menunjukkan terdapat perbezaan min yang signifikan antara gaya kepimpinan pentadbiran dan motivasi guru. Terdapat hubungan positif yang signifikan antara motivasi guru dengan gaya kepimpinan demokratik. Sedangkan hubungannya negatif dengan gaya kepimpinan autokratik dan gaya kepimpinan laissezfaire. Hasil kajian turut menunjukkan bahawa tahap motivasi dalam kalangan guru adalah tinggi dalam gaya kepimpinan demokratik, dan tidak terdapat perbezaan min yang signifikan dalam motivasi guru berdasarkan jantina, kelayakan dan pengalaman. Kesimpulan: Kajian ini telah merungkai kesan gaya pengurusan terhadap guru sekolah Arab swasta di Kuala Lumpur. Penemuan ini akan membantu pihak bertanggungjawab dalam menetapkan peraturan pemilihan pentadbir sekolah mengikut piawaian saintifik yang standard berdasarkan kecekapan dan keadilan ketika pemilihan dan pencalonan dilakukan, bukan kerana pilih kasih dan kepentingan peribadi.
|