| Summary: | Dunia pada hari ini menyaksikan ramai umat Islam terjebak dalam masalah sosial seperti zina, pembunuhan, pencurian dan penyalahgunaan dadah. Satu kajian menunjukkan seramai 35 juta orang di seluruh dunia telah terjebak dalam penyalahgunaan dadah. Manakala 800,000 orang di dunia mengakhiri hidup mereka dengan bunuh diri pada setiap tahun. Antara punca utama masalah ini ialah kejahilan tentang ganjaran dan pahala yang telah disediakan oleh Allah SWT di dunia dan akhirat untuk hamba-Nya yang beriman, kurang komitmen agama, dan tiada rasa tanggungjawab seorang Muslim terhadap tuhan, diri dan masyarakat. Berdasarkan permasalahan ini, suatu kajian harus dilakukan untuk mengetahui sejauh mana kesan hukuman dalam al-Quran terhadap pemulihan individu dan masyarakat. Sehubungan itu, kajian ini bertujuan memperjelaskan konsep ganjaran dalam konteks al-Quran, jenis kesan ganjaran terhadap pemulihan individu dan masyarakat, serta menyimpulkan contoh kesan tersebut dalam kehidupan Nabi SAW, para sahabat dan tabiin. Penyelidikan ini adalah gabungan kaedah kuantitatif dan kualitatif. Pengumpulan data adalah berasaskan kepada metode deskriptif induktif dengan menelusuri ayat al-Quran yang berkaitan dengan topik kajian. Metode ini juga digunakan untuk menyimpulkan makna dan pengajaran ayat serta menghubungkannya dengan konsep ganjaran. Manakala pendekatan deduktif digunakan ketika menganalisis kesan hukuman terhadap pemulihan individu dan masyarakat. Penyelidikan kuantitatif pula menggunakan analisis deskriptif di mana data dikumpulkan untuk kesan hukuman dan ganjaran untuk sampel guru lelaki dan wanita melalui soal selidik dan dianalisis menggunakan kaedah statistik. Antara dapatan utama kajian ialah dalam sighah al-Quran, kata terbitan "jaza" yang menerangkan ganjaran dan pahala muncul sebanyak 51 kali bagi menunjukkan pelbagai ganjaran yang menyejukkan hati dan azab yang menakutkan sebagai motivasi utama untuk menjadi seorang insan yang terbaik. Kajian turut menunjukkan bahawa ganjaran yang Allah SWT sediakan untuk orang yang beriman di dunia terbahagi kepada dua jenis, iaitu maknawi dan material, bagi memberi motivasi kepada umat Islam untuk terus mematuhi nilai dan akhlak Islam dalam proses pembinaan diri dan masyarakat. Kajian ini juga mengetengahkan kesan ganjaran kebaikan terhadap pemulihan individu dan masyarakat, iaitu ia dapat merealisasikan kesejahteraan diri dan masyarakat sekeliling, membina iltizam untuk berbuat taat dan menghindari maksiat serta mengetahui hakikat diri. Kajian ini seterusnya menunjukkan kesan ganjaran dan hukuman ini kepada masyarakat pada zaman Rasulullah SAW dalam pemulihan individu dan masyarakat dengan memiliki sifat terpuji seperti kesantunan, pemaaf, jujur, amanah, sabar dan tawaduk. Kajian lapangan pula menunjukkan bahawa penggunaan kaedah ganjaran telah memotivasi pelajar untuk mematuhi tingkah laku yang betul, dan proses pendidikan tidak berlaku dengan kaedah hukuman. Kajian ini menyumbang dalam membantu pemimpin sektor pendidikan dan pihak yang bertanggungjawab serta ibu bapa untuk memahami bagaimana isu ganjaran orang yang beriman boleh memberi kesan kepada pemulihan individu dan masyarakat. Melalui pendekatan ini, pihak
berautoriti mempunyai metode alternatif untuk menangani fenomena penularan masalah sosial dan tingkah laku dalam kalangan umat Islam.
|