| Summary: | Pengenalan: Ciri personaliti dan kebimbangan masa hadapan merupakan antara kajian yang mendapat perhatian utama dalam kalangan pakar psikologi pendidikan. lni memandangkan kesannya yang besar kepada pelajar dari aspek tingkah laku, kecenderungan, hubungan harmoni dengan rakan, guru dan persekitaran. Golongan yang berpotensi untuk menghadapi perubahan ciri personaliti dan kebimbangan masa hadapan ialah para pelajar siswazah yang meneruskan pengajian di luar negara ekoran daripada cabaran dan tekanan yang berganda khususnya mereka yang datang dari negara yang menghadapi kekacauan atau peperangan. Ciri personaliti yang tidak utuh beserta kebimbangan masa hadapan boleh membuat pelajar siswazah tidak berupaya untuk menjayakan tanggungjawabnya dengan cemerlang sedangan inilah tahap terakhir dalam penyediaan kekuatan sumber manusia yang mempunyai kelayakan akademik serta terlatih pada peringkat tinggi. Justeru, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap kewujudan ciri personaliti berdasarkan dimensi lima faktor utama dan kebimbangan masa hadapan dalam kalangan pelajar siswazah Libya di Malaysia. Kajian ini juga bertujuan untuk menilai hubungan antara ciri personaliti tersebut dengan kebimbangan masa hadapan, serta menjelaskan pengaruh jantina, bidang pengkhususan akademik dan status sosial terhadap hubungan ini. Metode: Kajian ini berbentuk deskriptif dan inferensi yang menggunakan kaedah kuantitatif. Alat kajian yang digunakan ialah soal selidik berbantukan kaedah pengukuran personaliti lima faktor utama yang dibina oleh Costa & McCrae dan pengukuran kebimbangan masa hadapan oleh Zainab Shaqer. Sampel kajian telah dipilih menggunakan teknik persampelan rawak yang melibatkan seramai 333 orang pelajar siswazah Libya di Malaysia. Data bagi kajian ini telah dianalisis menggunakan Pakej Statistik untuk Sosial Sains (SPSS) versi 24.0 bagi mendapatkan kekerapan, peratusan dan min, dan menggunakan Pemodelan Persamaan Berstruktur (SEM) bagi menilai hubungan serta menggunakan ujian-t bagi mengukur perbezaan berdasarkan jantina, pengkhususan akademik dan status sosial. Keputusan: Hasil kajian menunjukkan bahawa personaliti lima faktor wujud dalam kalangan pelajar siswazah Libya pada tahap yang berbeza bagi kelima-lima faktor: neurotisme, kehematan, ekstraversi, keterbukaan dan kebersetujuan. Hasil kajian juga menunjukkan nilai kebimbangan masa hadapan dalam kalangan responden adalah melebihi tahap pertengahan. Hasil kajian turut menunjukkan bahawa wujud hubungan negatif yang signifikan antara personaliti lima faktor dengan kebimbangan masa hadapan, manakala wujud hubungan positif antara faktor neurotisme dengan kebimbangan masa hadapan dalam kalangan responden. Dapatan juga menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan bagi personaliti lima faktor terhadap pemboleh ubah jantina iaitu perempuan, pemboleh ubah bidang pengkhususan iaitu bidang sains, dan pemboleh ubah status sosial iaitu bujang. Selain itu, terdapat juga perbezaan yang signifikan bagi kebimbangan masa hadapan yang dikaitkan dengan pemboleh ubah jantina, iaitu lelaki, pemboleh ubah bidang pengkhususan, iaitu bidang sastera, dan pemboleh ubah status sosial, iaitu berkahwin. Kesimpulan: Kajian ini membuka ruang bagi dijalankan kajian lanjutan yang berkaitan dengan personaliti lima faktor dan hubungannya dengan aspek lain seperti psikologi, sosial, politik dan ekonomi. Kajian ini telah memberikan input yang berguna untuk penganjuran simposium kesedaran yang berkaitan dengan kebimbangan masa hadapan serta kesan negatifnya terhadap individu dan masyarakat bagi mengelakkannya daripada berleluasa, di samping membuka lebaran baru bagi menyelesaikan masalah yang menjadi punca utama berlakunya kebimbangan masa hadapan.
|