Summary: | Sistem pembelajaran tatabahasa Arab yang melibatkan penerangan menggunakan buku teks sering dilihat sebagai cabaran kepada pensyarah dan pelajar untuk mewujudkan suasana pembelajaran menarik serta efektif. Berdasarkan perkembangan kemudahan teknologi kini, penyampaian kandungan buku teks yang lebih menarik boleh direalisasikan melalui aplikasi infografik beranimasi. Justeru, tujuan utama kajian ini adalah untuk mereka bentuk dan membangunkan modul pembelajaran tatabahasa Arab berasaskan infografik beranimasi. Modul ini mengandungi penerangan multimedia yang komprehensif dan sistematik dalam mempersembahkan elemen tatabahasa Arab. Kandungan modul ini melibatkan kursus Kajian Teks Sintaksis Ibn 'Aqil yang ditawarkan bagi Program Ijazah Sarjana Muda (ISM) Pengajian Bahasa Arab, Universiti Sultan Zainal Abidin. Kajian ini menggunakan pendekatan Kajian Reka Bentuk dan Pembangunan bersandarkan kepada Model Pembinaan Modul Sidek (2001), Infographic Design Model (2015) dan teori pembelajaran bahasa untuk pembangunan modul. Kajian ini melalui tiga fasa utama, iaitu fasa analisis keperluan, fasa reka bentuk dan pembangunan, dan fasa penilaian kebolehgunaan. Setiap fasa menggunakan kaedah pengumpulan data yang berbeza. Fasa analisis keperluan menggunakan kaedah tinjauan melalui soal selidik, manakala fasa reka bentuk dan pembangunan pula menggunakan kaedah Fuzzy Delphi untuk ke epakatan pakar dalam menentukan elemen serta komponen modul seterusnya membangunkan modul. Bagi fasa penilaian kebolehgunaan, kaedah tinjauan melalui soal selidik dan kaedah temu bual separa struktur digunakan bagi mendapatkan data berkaitan pengaplikasian modul. Selain itu, anal isis dokumen juga digunakan sebagai triangulasi data yang menyokong dapatan temu bual dan soal selidik. Data kuantitatif fasa pertama dan fasa penilaian kebolehgunaan dianalisis untuk memperoleh skor min dan peratus. Fasa kedua pula dianalisis menggunakan kaedah Fuzzy Delphi. Seterusnya, data kualitatif bagi temu bual pada fasa penilaian kebolehgunaan dianalisis mengikut tema berdasarkan model The Technology, Usability, Pedagogy (2002) yang dilaporkan secara deskriptif dan interpretif. Dapatan fasa analisis keperluan menunjukkan wujud keperluan membangunkan satu modul pembelajaran tatabahasa Arab berasaskan infografik beranimasi. Dapatan fasa reka bentuk dan pembangunan pula menunjukkan para pakar mencapai kesepakatan terhadap elemen bagi komponen modul yang menjadi panduan kepada pembangunan modul. Dapatan fasa penilaian kebolehgunaan pula menunjukkan tahap kepuasan tinggi dalam kalangan pelajar terhadap elemen yang diterapkan menerusi modul, khususnya bagi aspek teknologi, kepenggunaan dan pedagogi. Kajian ini boleh dianggap sebagai perintis dengan menjadikan kitab turath kepada modul pembelajaran kendiri dalam bentuk video infografik beranimasi. Modul yang dihasilkan juga dapat memudahkan pelajar memahami tajuk tatabahasa Arab.
|