| Summary: | Kajian psikologikal berkenaan kepulihan ketagihan dadah berkembang dan bertambah
secara dinamik selari dengan masalah dadah yang wujud di dunia. Kepulihan ketagihan
dadah merupakan faktor asas untuk penagih dadah memulakan kehidupan nomal dan
kembali ke pangkuan masyarakat semula. Hal ini menjadi tahap penting dalam rawatan
dadah kerana dapat menjadi petunjuk atau bukti sama ada prosedur yang digunakan
semasa rawatan itu sesuai atau tidak untuk membantu penagih dadah daripada ketagihan
dadah. Kajian ini bertujuan untuk membina satu instrumen kepulihan dadah dan
mengukur tahap kesembuhan penagih dadah yang dirawat di pusat pemulihan. Seramai
123 penagih dadah yang dirawat di Cure & Care Rehabilitation Centre (CCRC) di
Besut, Terengganu dipilih sebagai responden kajian. Instrumen yang digunakan untuk
menemu bual responden bagi mengumpul maklumat kajian ini dibina berdasarkan
kerangka konseptual yang dibentuk dan diolah daripada kajian-kajian lepas oleh
pengkaji lain. Instrumen ini dinamakan sebagai Ujian Kepulihan Penagihan Dadah
(Drug Addiction Recovery Test - DART) dan dibina mengikut enam langkah
berdasarkan ubahsuai proses pembinaan Instrumen Miller et al. (2013). Instrumen ini
mengandungi empat komponen utama iaitu kebergantungan dadah, relaps, resilensi
dadah dan kekuatan mental yang dikembangkan menjadi empat sub-instrumen untuk
DART iaitu Penilaian Kebergantungan Dadah (Drug Dependency Assessment - DDA),
Penilaian Kemungkinan Relaps Dadah (Drug Possible Relapse Assessment - DPRA},
Penilaian Resiliensi Dadah (Drug Resiliency Assessment - DRA) and Penilaian
Kekuatan Mental Klien (Client Mental Strength Assessment - CMSA). Setiap
komponcn mengandungi 20 item danjumlah keseluruhan item DART ialah 80. Analisis
Faktor digunakan untuk menentukan keabsahan item psikometrik instrumen berkenaan
yang berkait secara langsung dengan kepulihan penagihan dadah. Kajian ini mendapati
bahawa nilai Cronbach Alpha bagi empat komponen DART ialah 0.790 untuk DDA,
0.873 untuk DPRA, 0.881untuk DRA, dan 0.845 untuk CMSA. Dari segi tahap
kesembuhan responden di CCRC Besut pula, kajian ini menunjukkan 52.03%
responden boleh dibebaskan sepenuhnya, 36.59% responden boleh dibebaskan sebagai
pesakit Iuar, 8.94% responden tidak boleh dibebaskan dan perlu diberikan pemantauan,
dan 2.44% responden tidak boleh dibebaskan dan perlu menjalani rawatan secara
intensif. Kajian ini membuktikan instrumen yang dibina itu boleh digunakan untuk
mengukur tahap kesembuhan penagih dadah yang sedang menjalani rawatan dadah di
pusat pemulihan tersebut. Kesimpulannya, instrumen ini perlu menjalani beberapa siri
ujian lagi untuk memastikannya menjadi satu instrumen yang boleh dipercayai untuk
kegunaan akan datang. Kajian ini dan instrumen DART yang dibina ini diharapkan
dapat membantu kerajaan terutamanya CCRC untuk merawat penagih dadah daripada
masalah ketagihan dadah dengan lebih berkesan pada masa hadapan.
|