Summary: | Masalah ketagihan dadah telah dikenal pasti sebagai salah satu faktor berisiko tinggi
dan berkait rapat dengan tingkahlaku hasrat bunuh diri. Banyak kajian melaporkan
bahawa tingkahlaku hasrat bunuh diri ini semakin meningkat dalam kalangan penagih
dadah. Pengesanan awal hasrat bunuh diri dalam kalangan penagih adalah penting untuk
memastikan mereka tidak mengambil tindakan selanjutnya yang boleh menyebabkan
kematian. Kajian ini dilakukan untuk membina satu instrumen tingkahlaku hasrat bunuh
diri dalam kalangan penagih dadah bagi mengesan tahap hasrat bunuh diri mereka.
Instrumen psikometrik ini dibina berdasarkan situasi di Malaysia. Instrumen yang
dibina untuk kajian ini dinamakan sebagai Ujian Tingkahlaku Hasrat Bunuh Diri
(Suicidal Ideation Behaviour Assessment - SIBA). Pembinaan instrumen itu dibuat
berdasarkan satu kerangka konseptual yang dibentuk secara hipotetikal dan hasil kajian
pengkaji-pengkaji terdahulu yang telah membuat penelitian secara mendalam tentang
hubungan penagihan dadah dengan tingkahlaku hasrat bunuh diri. Instrumen ini
mengandungi empat komponen iaitu konflik interpersonal, kecelaruan emosi,
kemurungan, dan putus harapan. Setiap komponen SIBA mengandungi 10 item dan
jumlah keseluruhannya ialah 40 item. Analisis Faktor Eksploratori (Exploratory Factor
Analysis - EFA) digunakan untuk menentukan keabsahan dan kebolehpercayaan setiap
item dalam komponen-komponen tersebut. Dalam hal ini, seramai 123 penagih yang
dirawat di Cure & Car Rehabilitation Centre (CCRC) Besut, Terengganu dipilih
sebagai responden kajian untuk pengujian instrumen ini. Kajian ini mendapati bahawa
nilai Cronbach Alpha bagi komponen konflik interpersonal ialah 0.86, kecelaruan emosi
ialah 0.86, kemurungan ialah 0.83, dan putus harapan ialah 0.90. ilai-nilai Cronbach
Alpha ini menunjukkan bahawa tahap kebolehpercayaan komponen-komponen tersebut
adalah tinggi. Dari segi keabsahan item-item yang digunakan nilai factor loading yang
diperoleh ialah 0.45-0.87. Julat nilai ini menunjukkan bahawa item-item tersebut boleh
diterima dan sesuai untuk instrumen ini. Analisis deskriptif mendapati bahawa 52.85%
penagih di CCRC Besut mempunyai tahap hasrat bunuh diri yang rendah, 21.95%
berada pada tahap sederhana, 0.31 % pada tahap tinggi, dan 0.81 % pada tahap sangat
tinggi. Kesimpulannya, kajian ini dapat menunjukkan bahawa instrumen yang dibina
ini boleh diguna pakai untuk mengukur tahap tingkahlaku hasrat bunuh diri dalam
kalangan penagih dadah yang sedang menjalani rawatan di pusat pemulihan tersebut.
Pada masa akan datang, instrumen ini dicadangkan agar menjalani beberapa siri ujian
lagi untuk memastikannya menjadi satu instrumen yang lebih berkesan dan berguna
dengan keperluan semasa. Instrumen SIBA yang dibina ini diharapkan dapat
memberikan sumbangan yang besar kepada kerajaan terutamanya CCRC dalam usaha
membantu penagih yang mempunyai tingkahlaku hasrat bunuh diri untuk diberikan
perhatian dan perkhidmatan sokongan psikososial yang lebih baik.
|