| Summary: | Pengenalan: Dunia barat pada hari ini telah melancarkan serangan pemikiran kepada orang Islam bagi tujuan untuk melemahkan mereka. Pemerhatian terhadap realiti masyarakat kontemporari di Bangladesh pada masa kini mendapati bahawa mereka berhadapan dengan serangan pemikiran, ideologi, ibadah, tingkah laku dan akhlak, serta budaya intelektual. Masalah ini wujud disebabkan oleh masyarakat Bangladesh tidak dapat membezakan antara perkara usul dengan perkara cabang dalam akidah. Ia juga disebabkan oleh perlakuan mereka dalam perkara haram yang disangka untuk memperolehi manfaat atau menghindari kemudaratan sehinggakan perkara tersebut menular dalam masyarakat, sedangkan ia sebenarnya dipenuhi dengan amalan syirik, khurafat dan bidaah. Oleh itu, para pendakwah dan orang yang mahu melakukan pemulihan kepada msyarakat kontemporari di Bangladesh perlu menyelesaikan masalah ini dengan merujuk kepada metode dakwah di dalam al-Quran dan Sunnah dan metode yang diguna pakai oleh Nabi Muhammad SAW. Objektif kajian ini adalah untuk menzahirkan ciri dakwah kenabian, mengenal pasti metode yang digunakan oleh Nabi Muhammad SAW berpandukan al-Quran dan Sunnah dan menganalisis masalah dan bentuk pemulihan masyarakat kontemporari di Bangladesh. Metode: Kajian ini merupakan kajian kualitatif yang menggunakan metode analisis dan induktif bagi menjelaskan ciri dakwah nabi berpandukan al-Quran dan Sunnah serta mengenal pasti metode baginda dalam berdakwah dengan merujuk kepada literatur penelitian daripada sumber, rujukan dan kajian sebelumnya dan mengaitkannya dengan metode dakwah nabi. Bagi memahami dan memulihkan masalah yang melanda masyarakat kontemporari di Bangladesh, kajian menggunakan metode deduktif dengan mengumpul serta membuat penilaian terhadap fakta yang kukuh dan dapatan kajian akademik, dan seterusnya menyatakan saranan yang dapat memberi sumbangan kepada pemulihan keadaan semasa masyarakat kontemporari di Bangladesh. Keputusan: Hasil kajian menunjukkan bahawa ciri pendekatan dakwah dalam al-Quran dan Sunnah adalah tidak terbatas kepada pengiraan tempat dan masa tertentu kerana ia memiliki hikmah dan nasihat yang baik. Ia juga memiliki hujah yang amat bernas, meyakinkan, lengkap dan tanpa ada sebarang penambahan serta pengurangan. Itulah dakwah yang sempurna buat
semua manusia. Manakala metode dakwah Rasulullah SAW sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran dan Sunnah adalah melakukannya secara berperingkat, asas dakwah berteraskan pembangunan akidah, keseimbangan ibadah, beretika terhadap orang yang melakukan dosa secara sederhana, berhikmah, menasihati perkara yang baik dan berdebat tentang sesuatu yang lebih baik. Kajian ini juga mendapati bahawa penyelesaian bagi masalah masyarakat kontemporari di Bangladesh yang terdiri daripada masalah ideologi yang menyeleweng, kejahilan beragama, ekstremis dan pelampau, serta taklid buta adalah dengan cara mesti berpegang teguh kepada akidah yang betul, menerapkannya dalam praktik kehidupan, memperkukuhkan kesatuan persaudaraan iman dalam berhadapan dengan perkara khilafiyyah dan keluar dari kejahilan serta taklid buta. Ia juga dapat diselesaikan dengan beribadah secara ikhlas kepada Allah SWT, mengikuti langkah Rasulullah SAW, dan memberi perhatian kepada rukun Islam, rukun iman serta juga ilmu berkaitan syariah. Berpegang kepada nilai akhlak al-Quran dan Sunnah Nabi adalah salah satu faktor terpenting untuk kemajuan manusia dan peningkatan kecekapan yang menjamin kesejahteraan serta keselamatan dalam masyarakat. Kesimpulan: Kajian ini menyumbang kepada kejayaan dakwah dengan kerjasama semua pihak dan keprihatinan keluarga Islam terhadap pendidikan anak-anak berteraskan prinsip dan nilai Islam. Kajian ini juga dapat menggesa para pendakwah agar berpegang teguh dengan perkara pemulihan dan peningkatan tahap keagamaan dan dakwah berdasarkan perkembangan dan pemulihan yang disaksikan oleh masyarakat kontemporari di Bangladesh dalam semua bidang kehidupan.
|