Summary: | Pengenalan: Keganasan merupakan masalah global di seluruh dunia. Fenomena ini lebih tertumpu di Timur Tengah yang dianggap pusat konflik antarabangsa. Dunia mengisytiharkan perang terhadap pengganas ini sebagai peperangan global. Seluruh negara di Timur Tengah turut terancam dan terkesan termasuk Jordan. Ini berikutan kedudukan Jordan yang bersempadan dengan Iraq dan Syria yang menjadi pusat peperangan ini. Peningkatan keganasan di Jordan dikaitkan dengan peningkatan operasi pengganas, penyebaran ideologi ekstremis dalam kalangan warga Jordan, penglibatan sejumlah besar rakyat Jordan dalam organisasi pengganas dan potensi pengembangan organisasi pengganas yang terletak berhampiran sempadan Jordan yang semakin meluas. Tujuan kajian ini adalah untuk menjelaskan makna keganasan dan menyatakan kategori serta faktor keganasan. Kajian juga menjelaskan cabaran yang dihadapi oleh Jordan terhadap pemikiran ekstrim dan mengukur sejauh mana kaedah syarak yang dilaksanakan di Unit Anti-Keganasan Jordan selaras dengan tuntutan Islam. Ia juga bertujuan mengukur sejauh mana kejayaan Unit Anti-Keganasan Jordan menangani pelampau keganasan ini dengan kaedah tersebut. Metode: Kajian ini adalah kajian kualitatif dengan pengumpulan data berdasarkan pengalaman dan pemerhatian serta pelbagai maklumat yang diterima daripada media dan laporan tempatan dan antarabangsa. Data terse but dianalisis dan dibandingkan dengan realiti operasi perjuangan melawan keganasan. Cara yang digunakan oleh Unit Anti-Keganasan juga dianalisis dengan merujuk hukum yang disimpulkan daripada sumber al-Quran dan alSunnah. Keputusan: Kajian menunjukkan bahawa keganasan tidak mencerminkan realiti agama Islam dan sebahagian besar mangsa keganasan adalah orang Islam. Kajian juga mendapati bahawa organisasi pengganas yang mendakwa berjuang atas dasar Islam ini adalah terpesong daripada ajaran Islam. Turut berlaku juga pendustaan atas nama Islam demi pengembangan dan penyebaran pemikiran organisasi ini. Kajian seterusnya menunjukkan bahawa pilihan terbaik menghadapi organisasi tersebut adalah dengan melalui tindakan intelektual. Ia dihasilkan daripada pemahaman yang betul mengenai nas syarak yang mampu menjelaskan bahawa organisasi ini, menyimpang daripada makna sebenarnya dengan tingkah laku mereka. Selanjutnya, kajian juga menunjukkan bahawa cara yang digunakan oleh Unit Anti-Keganasan sebenarnya berasal daripada sumber syariat Islam dalam memerangi jenayah individu dan harta benda. Unit Anti-Keganasan Jordan juga perlu memperluaskan pendekatan syarak dalam memerangi ekstremisme. Agensi anti-keganasan di pelbagai negara di dunia terutamanya negara Arab dan Islam perlu menggunakan kaedah ini. Ia pasti akan membawa kepada definisi agama Islam yang betul serta mampu menghapuskan keganasan. Kesimpulan: Hakikatnya organisasi keganasan seperti Islamic State of Iraq and Syria (ISIS) tidak mempunyai kaitan langsung dengan Islam. Penggerak organisasi ini hanya memiliki matlamat peribadi dan berpunca daripada tujuan politik negara yang memerangi keganasan. Sebagai rumusan, kaedah terbaik untuk mengatasi ekstremisme ini adalah melalui kesedaran yang betul mengenai ajaran Islam dan bukan melalui konfrontasi ketenteraan.
|