| Summary: | Iklim dini merupakan persekitaran Islam serta amalan yang dilakukan berlandaskan
cara hidup Islam. Dewasa ini masalah tingkah laku, buli, ponteng sekolah, kemurungan
dan disiplin pelajar semakin meningkat sarna ada di dalam mahupun di luar negara.
Masalah ini jika tidak diatasi akan memberikan impak yang negatif terhadap
kemenjadian pelajar. Fenomena ini berlaku disebabkan kurang kesedaran guru
berkaitan kepentingan iklim sekolah. Pencapaian pelajar hanya dilihat dari aspek
akademik, namun tidak menyeluruh sebagaimana elemen kemenjadian pelajar yang
menilai aspek akademik, kokurikulum dan juga sahsiah. Strategi yang digunakan
melibatkan konstruk aktiviti, teladan, dan amali, manakala pelaksanaan pula melibatkan
konstruk kepimpinan, persekitaran fizikal, kurikulum kokurikulum, dan hubungan
komuniti. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap, hubungan
perbezaan, serta pengaruh strategi dan pelaksanaan iklim dini terhadap kemenjadian
pelajar di sekolah menengah agama. Pendekatan kuantitatif ini menggunakan reka
bentuk kajian tinjauan. Kajian dijalankan di tiga jenis sekolah menengah agama di
negeri Kelantan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama
Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Agama Negeri (SAN). Sampel dipilih secara
rawak berstrata untuk pemilihan sekolah dan juga rawak sistematik untuk pemilihan
responden. Seramai 368 orang responden daripada sembilan buah sekolah menengah
agama telah dilibatkan. Instrumen kajian yang digunakan ialah soal selidik tentang
strategi dan pelaksanaan iklim dini serta sahsiah pelajar. Data kajian dianalisis dengan
menggunakan ujian statistik deskriptif dan inferensi yang melibatkan ujian T, ANOV A
dan Regresi Berganda. Dapatan kajian secara keseluruhannya menunjukkan bahawa
pemboleh ubah strategi dan pelaksanaan berdasarkan konstruk berada pada tahap yang
tinggi. Kajian ini memperlihatkan hubungan yang signifikan antara tahap pelaksanaan
dengan strategi iklim dini, dan tahap pelaksanaan dengan kemenjadian pelajar. Selain
itu, kajian menunjukkan tidak terdapat perbezaan signifikan pada strategi dan
pelaksanaan iklim dini berdasarkan faktor jenis sekolah. Bagaimanapun, dapatan
seterusnya menunjukkan strategi dan pelaksanaan iklirn dini memberi sumbangan yang
besar terhadap kemenjadian pelajar. Hasil kajian menunjukkan strategi dan pelaksanaan
iklim dini dapat memberi kesan positif ke arah pembentukan kemenjadian pelajar di
sekolah menengah agama. Keadaan ini secara tidak langsung dapat memotivasikan
guru dan pelajar untuk membina satu budaya sekolah berlandaskan cara bidup Islam
yang mampu menghasilkan seorang muslim berkarakter baik dan seimbang dalam
semua aspek. Kajian ini juga dapat memberikan sumbangan serta implikasi kepada
pengetahuan, praktikal, teoretikal, dan empirikal dalam bidang pendidikan seterusnya
dapat melahirkan generasi rabbani.
|