| Summary: | Membaca al-Quran al-Karim mempunyai hukum-hakam khusus yang perlu dijelaskan dan disandarkan dengan dalil fiqah. Justeru, adalah penting untuk mengumpulkan hukum-hukam fiqah kontemporari berkait bacaan al-Quran dan menyusunnya mengikut susunan terkini. Objektif kajian ini adalah untuk mengetahui hukum-hakam fiqah kontemporari berkaitan pembelajaran dan pengajaran al-Quran al-Karim melalui kaedah-kaedah kontemporari serta menjelaskan perkara-perkara yang berkaitan dengan adat dan tradisi bacaan al-Quran semasa serta hukum-hakam kewangan yang melibatkan upah dalam bacaan atau pengajaran al-Quran. Kajian juga bertujuan menjelaskan hukum membaca al-Quran menggunakan peranti elektronik kontemporari serta menganalisa masalah-masalah berkaitan dan menilainya dengan hukum-hakam fiqah. Kajian ini merupakan satu kajian kualitatif dengan mengumpulkan maklumat daripada kitab-kitab fiqah klasik dan kontemporari, tesis, fatwa fiqah kontemporari dan sebagainya. Data-data dianalisis melalui kaedah analisis kandungan terhadap masalah-masalah fiqah dengan membentangkan dalil-dalilnya daripada rujukan berkaitan selain membandingkannya dengan pandangan ulama' fiqah klasik dan kontemporari. Dapatan kajian mendapati bahawa harus belajar dan mengajar al-Quran menggunakan kaedah kontemporari dan harus membacanya menggunakan mushaf elektronik dan Quran Braile. Antara adat membaca al-Quran yang makruh adalah menguatkan bacaan dengan menggunakan pembesar suara serta membahagi-bahagikan bacaan al-Quran sesama sendiri. Tidak ada masalah memulakan majlis dengan bacaan al-Quran serta harus membayar zakat dan bersedekah kepada sekolah tahfiz, pelajar-pelajar atau gurugurunya. Diharuskan juga membaca al-Quran menggunakan peralatan elektronik seperti komputer dan telefon bimbit atau menerusi laman-laman internet dengan menjaga kehormatan al-Quran selain diharuskan menggunakan peralatan audio, video dan lain-lain kerana ia merupakan kaedah yang membantu bacaan serta memudahkan manusia. Ini merupakan perkara yang dituntut dan termasuk dalam salah satu maqasid syariah. Selain itu, tiada masalah untuk mengadakan aktiviti atau program berkait bacaan al-Quran serta harus membacanya dengan taranum tetapi tidak boleh membacanya mengikut rentak muzik. Boleh juga diadakan keraian sempena khatam hafazan atau bacaan al-Quran. Kajian ini menunjukkan bahawa isu-isu bacaan alQuran masih relevan untuk dikaji memandangkan perubahan masa, tempat dan individu memberi kesan kepada kewujudan masalah-masalah baharu berkaitan dengannya yang perlu digali hukum-hakamnya demi kemaslahatan ummah.
|