| Summary: | Negara Libya sepanjang sejarah Islam terkenal sebagai sebuah negara ilmu. Warganya telah mempertahankan agama dan bahasa mereka dengan jayanya sehingga berupaya menjadi kiblat para ulama dan penghubung jendela ilmu di antara timur dan barat. Namun sayangnya ramai orang masih tercari-cari di manakah boleh didapati maklumat lengkap tentang perkembangan atau aktiviti keilmuan padahal ilmu ini telah berkembang begitu luas sekali. Ditambah pula berlakunya zaman kemelesetan keilmuan hasil daripada penjajahan musuh. Bertitik tolak daripada hakikat ini satu kajian perlu dilakukan bagi menjelaskan perkembangan keilmuan di Libya semenjak dari awal kemasukan Islam sehinggalah ke penghujung abad keempat belas Hijrah. Kajian ini dilakukan untuk memberi penjelasan terhadap kesan institusi-institusi keilmuan dan aktiviti perantauan menuntut ilmu serta peranannya dalam penyebaran ilmu hadis. Ia juga bertujuan untuk mendedahkan suasana kehidupan keilmuan dan sejauh mana sumbangannya dalam memuncakkan penyebaran ilmu hadis di Libya. Sebagaimana kajian ini juga menilai pandangan serta menganalisis karya-karya penting dalam lapangan hadis yang pernah dihasilkan Libya dan penyelidikan ilmu hadis oleh para ulamaknya. Metodologi Kajian: Kajian kualitatif ini menggunakan metod analisis deskriptif. Data-data dikutip melalui dokumen dan tulisan-tulisan mengenai ilmuan Libya. Sejarah perjalanan mereka disaring mengikut rentetan peristiwa dan hasil karya mereka dicatat. Data-data yang dikumpul dianalisis secara deskriptif bagi mendapatkan hasil kajian. Antara dapatan kajian yang ditemui di dalam penyelidikan ini adalah: Institusi-institusi pengajian hadis Libya telah menjadi pusat penerbitan kajian-kajian hadis dan penyebarannya. Institusi-institusi tersebut telah berjaya melahirkan ramai pakar-pakar hadis dan dalam masa yang sama sebahagian daripada mereka telah berhijrah menuntut ilmu hadis dengan mengunjungi majlis-majlis hadis Imam Malik dan tokoh-tokoh lain. Melalui penelitian terhadap kehidupan keilmuan di Libya ternyata menampakkan bahawa generasi sahabat nabi SAW sebenarnya menjadi benih pertama dalam penyebaran ilmu hadis. Hasil daripada usaha merekalah lahirnya tokoh-tokoh besar ulama hadis daripada ilmuan Libya. Melihatkan kepada karya hadis Libya, jelas menunjukkan bahawa Muwatta' versi Ibn Ziyad menjadi versi kitab Muwatta' yang pertama pemah diriwayatkan dan lahir ke alam ini. Orang-orang Libya mempunyai pelbagai koleksi manuskrip hadis yang menarik termasuklah satu-satunya naskah manuskrip kitab Sahih al-Bukhari tulisan tangan al-Sadafi. Jelas dan nyata bahawa orang-orang Libya telah memberikan sumbangan yang sangat bermakna dalam penyelidikan hadis. Mereka sangat gigih dalam usaha meriwayat dan menjaga hadis, mengkritik perawi seterusnya menjadi antara tokoh-tokoh hebat dalam ilmu kritik hadis. Kajian ini telah membuktikan kedudukan Libya dan peranannya dalam penyebaran hadis. Ia telah melahirkan ramai ilmuan bidang hadis yang telah memainkan peranan mereka menghasilkan pelbagai karya dan menyebarkan ilmu hadis ke segenap penjuru dunia Islam. Sebahagian daripada mereka tidak dikenali dan kajian ini merupakan salah satu usaha membongkar sumbangan mereka dalam penulisan dan penyelidikan hadis.
|