| Summary: | Pengenalan: Nilai kenegaraan dilihat antara isu utama yang dihadapi oleh Negara Jordan pada masa ini. Oleh itu, nilai kenegaraan yang utama perlu dikenal pasti, lebih-Iebih lagi dengan meningkatnya ancaman asing yang berterusan terhadap negara Islam dan Arab. Malah, masyarakat Jordan amat memerlukan nilai ini bagi mengukuhkan nilai kenegaraan dalam diri pelajar. Hal ini kerana nilai kenegaraan ini menjadi kekuatan sebenar rakyat dalam mendepani pelbagai ancaman dalaman dan luaran, khususnya bagi rakyat Negara Jordan, yang merupakan sebuah negara tumpuan ramai warga asing disebabkan oleh lokasinya. Kajian ini bertujuan untuk membangunkan kerangka cadangan bagi pengajaran nilai kenegaraan dalam buku pendidikan kenegaraan awam bagi pelajar tahun lapan peringkat asas, selain mengenal pasti perspektif pelajar terhadap nilai yang diketengahkan. Metode: Kajian ini menggunakan metode campuran kuantitatif dan kualitatif menerusi reka bentuk analisis deskriptif dan kuasi eksperimental. Tiga instrumen utama dibina bagi mencapai objektif kajian iaitu; analisis kandungan, temu bual, dan soal selidik berkaitan perspektif pelajar terhadap kerangka cadangan nilai kenegaraan yang dibangunkan. Sampel kajian terdiri daripada l20 orang pelajar perempuan tahun lapan peringkat asas dari dua buah sekolah, iaitu; Sekolah Asas Anjarah dan Sekolah Asas A'ishah AIBayouniyah yang dipilih melalui kaedah pensampelan rawak sederhana. Kesemua instrumen kajian telah ditentukan kesahan dan kebolehpercayaannya agar menepati objektif kajian. Soal selidik kajian pula terdiri daripada 37 item yang menggunakan skala Likert lima mata. Bagi menjawab soalan kajian, analisis statistik berikut digunakan; frekuensi, peratusan, sisihan piawai, min dan Ujian T. Keputusan: Kajian ini mendapati bahawa nilai akhlak dan keagamaan berada pada kedudukan pertama, manakala nilai ekonomi berada pada kedudukan terakhir. Kajian ini juga mendapati perbezaan signifikan antara min sikap pelajar dalam kedua-dua kumpulan eksperimen dan kawalan dari segi perspektif pelajar terhadap nilai kenegaraan melalui pengajaran dua unit yang dibangunkan setelah eksperimen dijalankan. Pelajar daripada kumpulan eksperimen menunjukkan keputusan yang lebih baik. Kesimpulan: Kajian ini mengemukakan kerangka cadangan bagi nilai kenegaraan berdasarkan teori tingkah laku yang terdiri daripada lapan komponen utama. Kajian ini mengesyorkan agar pihak berkenaan di Kementerian Pendidikan memberi penekanan terhadap nilai kenegaraan yang diperlukan ini di dalam buku Pendidikan Kenegaraan Awam yang merangkumi nilai akhlak, agama, budaya, sosial, ekonomi dan politik. Selain itu, kajian ini turut menyarankan agar fokus kepada nilai kenegaraan dititikberatkan dalam segenap bidang, terutamanya nilai sosial dan ekonomi, tanpa mengabaikan mana-mana komponen nilai kenegaraan yang ada.
|