| Summary: | Pengenalan: Pelajar perempuan pengkhususan kejururawatan di universiti-universiti di Jordan berdepan dengan pelbagai tekanan psikologi, akademik dan sosial. Keadaan ini berpunca daripada cabaran pengkhususan ini sendiri, yang merangkumi beban latihan dan tugasan yang diberikan serta persepsi masyarakat terhadap mereka. Hal ini memberi kesan negatif terhadap pencapaian akademik mereka. Justeru, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti keberkesanan program kaunseling kelompok berasaskan teori rasional emosi dan tingkah laku bagi meringankan tekanan perasaan dalam kalangan pelajar
perempuan Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Puteri Aishah di Universiti AlHussein Bin Talal di Jordan serta kesannya terhadap pencapaian akademik mereka. Metode: Bagi mencapai objektif kajian, pendekatan deskriptif, pendekatan kuasi eksperimen dan pendekatan korelasi digunakan. Beberapa instrumen kajian telah dibina iaitu; satu soal selidik keperluan kaunseling bagi pelajar perempuan Kolej Kejururawatan Puteri Aishah, sebuah skala tekanan perasaan, dan sebuah program kaunseling kelompok berasaskan teori rasional, emosi dan tingkah laku untuk meringankan tekanan perasaan pelajar-pelajar ini. Sampel kajian terdiri daripada 40 orang pelajar perempuan pengkhususan kejururawatan tahun pertama dan kedua bagi tahun pengajian 2018/2019, yang mendapat markah tertinggi pada skala tekanan perasaan. Pelajar ini telah dibahagikan secara sama rata kepada dua kumpulan yang sama: kumpulan kawalan yang tidak terlibat dengan sebarang rawatan, dan kumpulan eksperimen yang dirawat menggunakan pembolehubah bebas (program kaunseling). Setelah eksperimen tamat, data ujian pra dan ujian pasca serta data pencapaian akademik dianalisis secara statistik untuk menguji kesahihan hipotesis menggunakan perisian PSS, yang melibatkan Ujian T untuk sampel bebas, pekali Alpha Cronbach, pekali korelasi Pearson, peratusan, min dan sisihan piawai. Keputusan: Dapatan kajian adalah seperti berikut: Terdapat perbezaan yang signifikan secara statistik pada tahap signifikan (a<0,05) pada tahap tekanan perasaan dalam kalangan pelajar yang terlibat dengan program kaunseling dan yang tidak terlibat dengannya. Keputusan juga menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan secara statistik pada tahap signifikan (a<0.05) pada tahap pencapaian akademik antara pelajar yang terlibat dengan program kaunseling dan pelajar yang tidak terlibat dengan program. Dapatan ini menunjukkan keberkesanan program kaunseling terapi emosi, rasional dan tingkah laku dalam mengurangkan tekanan perasaan dalam kalangan pelajar perempuan Kolej Kejururawatan Puteri Aishah, dan kesannya yang positif terhadap peningkatan pencapaian akademik mereka. Kesimpulan: Sumbangan kajian ini adalah dengan membantu pegawai dan pakar kaunseling psikologi dan pendidikan serta pelajar universiti dengan mengemukakan satu program kaunseling serta beberapa strategi dan teknik kaunseling untuk membantu meringankan tekanan perasaan pelajar. Kajian ini juga menekankan keperluan untuk menumpukan fokus terhadap penubuhan pusat-pusat kaunseling dan pendidikan khusus untuk pelajar universiti yang menawarkan khidmat dan program bimbingan kaunseling untuk mereka.
|