| Summary: | Setiap tahun kerajaan telah membuat pembiayaan yang tinggi untuk memastikan
semua agenda dalam bidang pendidikan dapat dilaksanakan dengan sempuma.
Namun, pembiayaan pendidikan ini tidak disusuli dengan pencapaian pelajar yang
memberangsangkan. Pembiayaan pendidikan yang sentiasa meningkat tanpa
mengambil kira cara penggunaan yang efisien dan cekap akan terus memberi masalah
kepada organisasi pendidikan dan negara. Justeru itu, kajian ini dibuat bertujuan untuk
melihat tahap penggunaan input pembelajaran, tahap motivasi pelajar serta hubungan
dan pengaruh penggunaan input pembelajaran bersumberkan pembiayaan tambahan
pendidikan Kerajaan Negeri Terengganu terhadap motivasi dan pencapaian pelajar.
Kajian ini adalah kajian menggunakan pendekatan kuantitatif dengan reka bentuk
tinjauan. Responden kajian terdiri daripada pelajar tingkatan enam rendah di empat
buah sekolah di Hulu Terengganu. Sampel kajian dipilih secara rawak berstrata iaitu
seramai 145 orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2016. Data
kajian dipungut menggunakan borang soal selidik dengan empat konstruk iaitu
pengajaran guru, penggunaan bahan pengajaran dan penilaian serta pelaksanaan
program akademik tambahan dan motivasi pelajar. Data dianalisis secara deskriptif
menggunakan Program Statistical Package for Social Science (SPSS) version 21 dan
ujian korelasi Pearson, ujian regrasi berganda dan ujian t bagi statistik inferensi.
Keputusan kajian menunjukkan penggunaan input pembelajaran berasaskan
pembiayaan tarnbahan pendidikan kerajaan negeri adalah pada tahap tinggi dan juga
meningkatkan tahap motivasi pelajar. Penggunaan input pembelajaran ini juga
mempunyai hubungan yang signifikan dengan motivasi pelajar pada tahap lemah bagi
konstruk pengajaran guru dan bahan pengajaran dan penilaian. Manakala pada tahap
sederhana bagi konstruk program akademik tambahan. Keputusan kajian ini juga
menunjukkan bahawa program akademik tambahan mempunyai pengaruh terhadap
motivasi sebanyak 26.3 peratus. Namun, tidak terdapat hubungan antara penggunaan
input pembelajaran berasaskan pembiayaan tambahan pendidikan kerajaan negeri
terhadap pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Hal ini dapat dirumuskan
bahawa, walaupun tidak terdapat hubungan antara penggunaan input pembelajaran
berasaskan pembiayaan tambahan pendidikan kerajaan negeri terhadap pencapaian
SPM, tetapi penggunaan input pembelajaran ini telah meningkatkan tahap motivasi
pelajar yang membantu meningkatkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) secara tidak langsung. Oleh itu, Kerajaan Negeri Terengganu wajar
meneruskan lagi pembiayaan pendidikan tambahan ini. Keputusan kajian ini boleh
menjadi panduan kepada pihak labatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT),
Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah untuk merancang pelaksanaan program
tambahan pendidikan yang lebih baik pada masa hadapan.
|