| Summary: | Masalah kajian: Kajian ini menganalisis tentang antologi puisi (Diwan) Ibn AI-Khayyat AI-Dimashqi yang sarat dengan pelbagai fenomena linguistik yang unik serta kebijaksanaan beliau dalam pelbagai gaya bahasa puisi. Hal ini menjadi pencetus kepada kajian ini yang menganalisis tahap-tahap utama pembinaan struktur linguistik puisi-puisi yang dimuatkan di dalam antologi beliau. Kajian ini berusaha menyerlahkan aspek semantik, ketika menganalisis gaya bahasa puisi yang melibatkan struktur fonetik, morfologi, sintaksis dan prosodi. Kajian ini bertujuan untuk memperkenalkan kehidupan dan biografi Ibn al-Khayyat al-Dimasyqi, menganalisis antologi puisi beliau dengan mengkaji aspek-aspek puisi beliau yang unik dan tersendiri, selain meneliti aspek sastera yang paling banyak terkandung di dalam antologi beliau. Metode: Pengkaji menggunakan metode analisis binaan stilistik bagi mengkaji struktur puisi berdasarkan tema, dengan menjauhi sebarang pengaruh diri dan konteks luaran. Tiga puisi telah dipilih bagi mewakili semua puisi yang terkandung di dalarn antologi puisi Ibn al-Khayyat. Keputusan: Dapatan kajian menunjukkan bahawa Ibn al-Khayyat telah menggunakan bahar (pola irama) puisi yang banyak dan pelbagai, sesuai untuk tujuan pujian, yang memperlihatkan kebolehan dan bakat beliau dalam menguasai elemen-elemen puisi. Selain itu, peningkatan kadar qafiah (rima) yang bebas berbanding qafiah yang terikat pula, menzahirkan kecenderungan Ibn al-Khayyat kepada kebebasan dan permulaan. Ibn al-Khayyat juga menggunakan fenomena pengulangan fonetik serta pengulangan perkataan untuk memperkukuh idea beliau. Selain itu, penggunaan leksikal beliau memperlihatkan kecenderungan keagamaan beliau dan kekuatan pegangan beliau kepada akidah Islam. Dalam pada itu, alam pula menjadi intipati penting dalam leksikasi beliau yang puitis. Justeru, Ibn al-Khayyat boleh dianggap sebagai pencetus romantisme zaman moden. Beliau menggunakan kata kerja, kata nama, al-taqdim, al-ta'khir, dan alhazf dalam merealisasikan fungsi puisi. Manakala al-istifham dan al-amr pula dianggap antara struktur yang paling menonjol yang membawa konotasi gaya yang mempengaruhi makna. Selain itu, pemuisi turut mengubah bahasa biasa menjadi bahasa imaginasi, dengan memanfaatkan penggunaan isti 'arah, kinayah dan tashbih untuk memberi kesan kepada pendengar, melalui pesonadan keindahan imaginasi. Kesimpulan: Kajian ini merupakan kajian yang amat luas dan sukar kerana antologi Ibn al-Khayyat yang tebal, serta puisi-puisi beliau yang panjang, selain kepelbagaian aspek fonetik, morfologi dan struktur bahasa yang saling bertindih dengan aspek semantik. Pengkaji berharap kajian ini dapat dimanfaatkan oleh penuntut ilmu bahasa Arab, khususnya mereka yang terlibat dengan kajian stilistik. Lebih-lebih lagi, kajian ini boleh dianggap sebagai kajian pertama yang menganalisis gaya bahasa antologi puisi Ibn al-Khayyat al-Dimasyqi.
|