| Summary: | Buku Jinayat al-Shafi'iy ialah salah satu contoh bacaan pemikiran Islam Kontemporari yang tersebar dalam pemikiran masyarakat. Penulis berhasrat membebaskan umat Islam daripada kerangka fiqh para imam Mazhab. Menurut dakwaannya, Fiqh Islam dan dalildalilnya bukanlah wahyu yang diturunkan, bahkan produk fikir manusia yang hanya sesuai untuk suatu zaman tetapi tidak sesuai untuk zaman lain. Pendapat para sahabat (r.a) menurutnya, tiada nilai kerana sejarah mereka dicemari dengan pelbagai peperangan merebut pangkat, kuasa dan harta. Al-Quran sendiri walaupun terpelihara teksnya tetapi pentafsirannya terdedah kepada perubahan sama ada dari aspek kefahaman, penerimaan atau penolakannya. Lantaran itu, ia perlu dipisahkan daripada fiqh demi kebangkitan ummah. Pemikiran penulis telah disebar dan diberi ruang penyebaran dalam kalangan masyarakat. Para ulama dan pengkaji yang menyedari ancaman ini telah bangkit memperingatkan tentang bahaya pemikiran sebegini terhadap jati diri dan peradaban masyarakat. Justeru, kajian bertujuan untuk menganalisis secara kritis kekeliruan dan kesilapan yang terdapat dalam buku Jinayat al-Shafi'iy berdasarkan neraca ilmu dan kaedah Usul Fiqh sekali gus menzahirkan peranan Usul Fiqh sebagai garis panduan dalam memantau kefahaman, pandangan serta ijtihad berkait Syariat Islam. Kajian ini merupakan sebuah kajian kualitatif. Data kajian dikumpul melalui analisis dokumen dengan merujuk kepada karya-karya Zakaria Ozon, hasil kajian dan
penulisan oleh para sarjana yang mengulas dan mengkritik pandangan golongan modenisme terhadap Islam, serta buku-buku fiqah, usul fiqah, tafsir, hadis dan huraiannya yang berkaitan dengan fokus kajian. Kajian turut melibatkan temu bual dengan beberapa ulama untuk mendapatkan pandangan mereka. Data kemudian dianalisis secara deskriptif, kritis, induktif dan dialektik. Kajian mendapati pengarang buku tersebut melanggar objektiviti dan amanah ilmiah yang merupakan antara prinsip asas penyelidikan. Sebagai contoh, beliau hanya menyebut salah satu daripada maknamakna perkataan Shari'ah, tidak amanah dalam menukilkan pandangan al-Shafi'iy dengan tidak menyebut sandarannya, serta membuat dakwaan tanpa mengemukakan bukti. Pengarang turut menisbahkan sesuatu pendapat secara tidak teliti kepada alShafi'iy seperti "sunnah menasakhkan al-Quran", sedangkan al-Shafi'iy menyatakan
sebaliknya. Beliau juga mencipta teks baharu al-Quran 'kutiba 'alaykum al-waliyyah'. Kajian juga mendapati bahawa ilmu Usul Fiqh adalah neraca yang mantap dalam memastikan keaslian dan garis panduan yang berwibawa dalam memahami pengertian teks-teks perundangan Islam. Akhirnya, kajian bertegas untuk menolak pelbagai kekeliruan dan penyelewengan yang terkandung dalam buku Jinayat al-Shafi'iy kerana ia menyalahi prinsip dan kaedah penyelidikan ilmiah. Kajian turut menegaskan bahawa ilmu Usul Fiqh seharusnya terus diberi perhatian dan dikaji, sesuai dengan kedudukannya sebagai suatu metode penyelidikan ilmiah yang berwibawa, khusus, spesifik, konsisten dan komprehensif, dalam memahami nas syarak dan pentafsirannya serta sebagai perisai yang kukuh kepada Syariat Islam.
|