| Summary: | Keganasan rumah tangga (KRT) merupakan satu masalah sosial yang serius dan mampu memberi kesan kepada kesihatan mahupun kesejahteraan hidup seseorang. Statistik KRT yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan terdapat peningkatan dalam laporan mengenai KRT yang berlaku pada tahun 2014 hingga 2019. Justeru satu kajian mengenai KRT dilakukan untuk mengenal pasti tahap pengetahuan responden tentang KRT, menganalisis bentuk keganasan yang pernah dialami oleh responden dan mencadangkan inisiatif sosial yang sesuai bagi meningkatkan tahap kesejahteraan hidup masyarakat berdasarkan hasil kajian yang diperolehi. Kajian ini menggunakan reka bentuk kuantitatif melalui kaedah tinjauan untuk mendapatkan data kajian. Kajian ini dilakukan di Negeri Terengganu dan Kelantan melalui teknik persampelan pelbagai peringkat. Borang soal selidik telah diedarkan kepada 390 orang responden menggunakan teknik persampelan bertujuan dan rawak mudah. Teknik lapor sendiri telah digunakan dan dianalisis melalui perisian Statistical Package for the Social Science (SPSS) versi 22 dan diolah menggunakan analisis berbentuk deskriptif dan inferensi. Ujian statistik yang digunakan dalam kajian ini ialah Ujian-T, Anova, korelasi dan regresi. Dapatan kajian menunjukkan responden mempunyai tahap pengetahuan yang tinggi mengenai isu KRT. Dari segi bentuk keganasan yang dialami, bentuk keganasan yang paling dominan berlaku dalam sesebuah rumah tangga adalah keganasan berbentuk ekonomi. Kajian ini mendapati bahawa terdapat perbezaan yang signifikan di antara responden lelaki dan wanita terhadap bentuk KRT yang dialami oleh mereka. Golongan wanita didapati lebih cenderung mengalami KRT berbanding lelaki disebabkan oleh kuasa dan kawalan yang dimiliki oleh kaum lelaki. Kepelbagaian dalam faktor sosio demografi diuji bagi memastikan terdapat kepentingan pembolehubah bebas ini dalam membentuk keganasan yang dinyatakan. Daripada hasil kajian yang diperolehi, kajian ini mendapati status perkahwinan, jenis pekerjaan, dan pendapatan isi rumah mempunyai
hubungan dengan bentuk-bentuk keganasan yang wujud. Sebagai tindakan susulan terhadap penemuan kajian, adalah dicadangkan pendekatan berbentuk top down dan bottom up kepada setiap lapisan masyarakat supaya isu mengenai KRT dapat diatasi secara bersepadu dan masyarakat lebih berani untuk tampil dan melaporkan kes KRT yang berlaku. Inisiatif yang dicadangkan adalah penting untuk mengurangkan masalah KRT yang berlaku, mewujudkan masyarakat yang mempunyai ikatan yang utuh, mengembalikan kefungsian keluarga serta mewujudkan persekitaran keluarga yang harmoni.
|