| Summary: | Masalah lemah dalam penguasaan jawi banyak diperbincangkan oleh pelbagai pihak terutamanya sarjana pendidikan sejak mutakhir ini. Masalah tersebut dikatakan berpunca sejak di peringkat sekolah rendah. Oleh itu, pelbagai usaha dilaksanakan oleh pakar-pakar bidang jawi dan guru pendidikan Islam (GPI) namun hasilnya masih kurang memuaskan dan masalah lemah jawi masih berlarutan. Masalah utama yang dihadapi GPI adalah tiada disediakan modul khusus pemulihan jawi sekolah rendah sejak Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) hinggalah perubahan terkini kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Justeru, kajian ini bertujuan untuk membantu menyelesaikan masalah lemah jawi dengan memperkenalkan 'Modul Suka Jawi' (MSJ) yang bersesuaian dengan keupayaan murid lemah jawi di peringkat sekolah rendah. Kajian ini merangka 'Modul Suka Jawi', melaksanakan dan menilai
kebolehgunaan modul tersebut terhadap murid lemah jawi di sekolah rendah. Metodologi Kajian ini adalah berbentuk kualitatif. Rekabentuknya adalah penambahbaikan kepada modul KPM sedia ada iaitu Modul j-QAF dan KCJ tetapi diubahsuai mengikut keperluan, tahap kecerdasan, pemulihan dan motivasi murid lemah jawi. Modul ini diadaptasi daripada modul pengajaran oleh Sidek dan Jamaludin (2005) dan Modul Kesedaran Hati oleh Shahril (2012). Sampel pilihan adalah 60 orang daripada 120 orang murid lemah jawi Tahun 2 hingga 6 dari Sekolah Kebangsaan Bukit Payong Marang Terengganu. Mereka dipilih berdasarkan pencapaian kurang 40% iaitu berada pada gred D dan E dalam ujian sumatif 2015. Kajian meliputi dapatan kajian yang diperoleh daripada data soal selidik dan temu bual murid dan guru berkaitan MSJ. Data dianalisis secara deskriptif iaitu yang tertinggi dan terendah. Satu draf modul yang
bersesuaian dengan murid lemah jawi sedia dibina berdasarkan keputusan temu bual dan soal selidik penggunaan MSJ. Hasil analisis keperluan yang diperoleh adalah tinggi iaitu setiap item temu bual mendapat skala 4 dan 5 iaitu setuju dan sangat setuju iaitu sebuah modul khas pemulihan jawi sangat perlu dibina untuk meningkatkan semula penguasaan murid lemah jawi. Dapatan terhadap kebolehgunaan modul MSJ oleh GPI juga adalah tinggi iaitu setiap item temubual mendapat skala 4 dan 5 iaitu setuju dan sangat setuju manakala dapatan terhadap penerimaan murid juga tinggi iaitu setiap item soal selidik mendapat jawapan 'ya' melebihi 50 orang murid. Kesimpulan didapati MSJ berupaya meningkatkan semula minat dan motivasi murid lemah jawi dalam penguasaan jawi. Justeru MSJ telah memberi impak yang besar terhadap tahap penguasaan murid lemah jawi kerana mereka berupaya menulis dan membaca tulisan jawi pada kadar kecerdasan yang sederhana tetapi konsisten. Ini menunjukkan MSJ sesuai digunapakai oleh murid lemah jawi dalam kelas pemulihan jawi sekolah rendah khasnya dan boleh diketengahkan ke peringkat sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan masyarakat amnya. Walaupun modul ini hanya sebagai draf awal dan tidak melengkapi keseluruhan sukatan pelajaran jawi, tetapi penambahbaikan yang dibuat telah disusun dengan kemas, teliti dan selari dengan sukatan pelajaran jawi KPM sekarang.
|