| Summary: | Kemunculan konflik sosial yang disebabkan oleh radikalisme agama dapat dicegah dengan pendekatan fahaman agama yang utuh dan kaedah keilmuan yang sebenar seperti yang telah diajarkan oleh para ulama muktabar. Kajian ini menyiasat kejayaan gerakan sosial Islam moderat oleh ulama Dayah dalam membendung radikalisme agama di Aceh, Indonesia. Permasalahan kajian ini adalah bagi mengenal pasti gerakan sosial yang digerakkan oleh ulama Dayah terutama dari Dayah Mahadal Ulum Diniah Islamian (MUDI) Mesjid Raya (Mesra) Al-Aziziyah Samalanga Aceh muncul, ideologi gerakan ini berbeza dengan ideologi radikal yang sudah mula berkembang di Indonesia dan Aceh, dan seterusnya mengkaji rangkaian pendekatan ilmu yang digunapakai, strategi, rangkaian organisasi, dan genealogi keilmuan serta impak yang ditimbulkan. Matlamat kajian ini adalah untuk memahami tentang gerakan tersebut dari tinjauan ideologi, pendekatan keilmuan, strategi, rangkaian organisasi, dan genealogi keilmuan serta impak yang ditimbulkan. Kajian ini mengunakan kaedah kualitatif, dengan objektif utama adalah untuk meneliti situasi sebenar mengenai gerakan sosial ulama Dayah di Aceh melalui kaedah dokumentasi, dan temu bual serta mengunakan perisian ATLAS.ti 8.4 bagi analisis data. Radikalisme agama di Aceh sudah wujud, seiring dengan penyebaran fahaman ini di peringkat antarabangsa, tetapi penyebaran fahaman ini telah dicegah oleh gerakan sosial ulama Dayah yang memiliki literasi dan kaedah (manhaj) keilmuan akademik yang sealiran dengan pemikiran ulama yang muktabar. Para ulama Dayah Aceh mempunyai konsep dan strategi tersendiri dalam membina dan membangunkan pemikiran Islam moderat. Genealogi keilmuan mereka telah menyumbang kepada kekuatan keilmuan agama untuk mencegah penyebaran radikalisme ini. Impak yang diperoleh dari gerakan sosial ulama Dayah seperti ini adalah sokongan yang kuat daripada masyarakat Aceh sehingga dapat menghalang penyebaran radikalisme agama. Radikalisme di Aceh telah dicegah oleh kemunculan pergerakan sosial Islam moderat yang diketuai oleh ulama Dayah yang bertujuan untuk mencegah konflik dan rusuhan sosial akibat sentimen agama seperti yang terjadi di Asia Barat dan Afrika. Memperkuat fahaman Islam moderat menjadi salah satu pilihan terbaik untuk menolak tuduhan terhadap Islam sebagai agama yang mengunakan kekerasan dalam menyelesaikan masalah ketidaksamaan sosial di era kini. Justeru itu, Aceh dengan pengaruh kuat ulama Dayah telah dapat membuktikan perkara ini.
|