| Summary: | Orang Asli terkenal sebagai sebuah komuniti yang mempunyai hubungan yang erat dengan alam semula jadi. Hubungan erat ini telah menjadikan setiap anggota masyarakat mahir berkaitan persekitaran semula jadi melalui pemanfaatan dalam aktiviti ekonomi, pencarian sumber makanan, perubatan dan urusan berkaitan kepercayaan. Namun, dewasa ini pembangunan yang dijalankan di kawasan sekitar telah memusnahkan pelbagai spesies flora dan fauna seterusnya mengubah bentuk gaya hidup tradisi Semaq Beri. Justeru, kajian ini dilaksanakan dengan objektif: Menjelaskan tahap kebergantungan Semaq Beri terhadap sumber alam semula jadi, mengenal pasti faktor perubahan alam semula jadi yang berlaku dan kesannya terhadap Orang Asli Semaq Beri. Seterusnya mengenal pasti proses transformasi gaya hidup suku kaum Semaq Beri di Hulu Terengganu berikutan perubahan alam semula jadi. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif melalui pendekatan etnografi. Kajian dilakukan dalam kalangan suku kaum Semaq Beri di Hulu Terengganu. Data kajian diperolehi melalui teknik pengumpulan data melalui pemerhatian ikut serta, temu bual dan kajian dokumen. Pengkaji menggunakan perisian QSR Nvivo versi ke 10 untuk menganalisis data yang telah di kumpul. Hasil kajian mendapati suku kaum Semaq Beri di Hulu Terengganu masih bergantung kepada sumber semula jadi terutama dari segi kegiatan ekonomi. Namun, perubahan alam semula jadi telah memberikan kesan kepada kehidupan Semaq Beri seperti sumber dari alam semula jadi yang semakin terhad dan pendapatan mereka semakin berkurang. Kini mereka terpaksa meneroka kawasan baru yang lebih jauh untuk melaksanakan aktiviti ekonomi dan melibatkan ko yang tinggi. Situasi ini juga antara lain menyebabkan suku kaum Semaq Beri beradaptasi dengan gaya hidup moden. Proses adaptasi ini boleh dilihat dalam konteks ekonomi yang dijalankan dan lain-lain aktiviti seperti aktiviti menanam semula pokok tertentu yang mempunyai nilai komersil tinggi, menjalankan pertanian sara diri, mengusahakan kraf tangan dan amalan menabung. Begitu juga dengan sumber makanan, sekitar 90 peratus sumber makanan utama sebahagian besar ketua isi rumah (KIR) diperoleh dari luar. Kaedah perubatan moden pula mula diterima terutama oleh golongan muda. Dari sudut sosial pula, pengadaptasian gaya hidup terkini sudah semakin berkembang melalui peningkatan kesedaran dalam pendidikan, pemilikan kenderaan, tabungan, dan penggunaan media sosial. Rumusan: Tahap pergantungan Semaq Beri terhadap alam semula jadi semakin menurun dari segi askes perubatan, makanan, dan gaya hidup sosial. Dalam masa yang sarna ianya menunjukkan proses adaptasi gaya hidup sedang berlangsung dalam kalangan Semaq Beri di Hulu Terengganu. Justeru, pengkaji berharap dapatan kajian ini dapat membantu Orang Asli di Kampung Sungai Berua menjadi sebuah masyarakat yang berpendidikan, dan maju dalam sektor ekonomi serta menjadi sebuah komuniti yang berdaya saing.
|