| Summary: | Kualiti pembelajaran bahasa Arab merupakan antara bidang terpenting dalam pendidikan - khususnya di universiti selatan Thailand - bagi menyediakan modal insan yang berkelayakan dan berkualiti untuk masyarakat. Antara isu besar dalam pembelajaran bahasa tersebut ialah kelemahan pelaksanaan Standard Pengurusan Kualiti (SPK) yang boleh dilihat pada kerendahan tahap perkhidmatan yang diberikan kepada pelajar, komuniti dan pekerja. Sesetengah kelemahan ini melibatkan realiti proses pembelajaran, pengurusan pentadbiran bahasa, kemampuan staf akademik. Hal ini juga berkaitan dengan kurikulum pengajian dan tahap kesesuaiannya. Justeru, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti realiti pembelajaran bahasa Arab di universiti selatan Thailand berdasarkan Standard Pengurusan Kualiti menurut perspektif pelajar dan pensyarah. Kajian ini juga menganalisis sama ada terdapat perbezaan signifikan pandangan pelajar mengenai pelaksanaan SPK berdasarkan pemboleh-pemboleh ubah jantina, tempat kelahiran, sekolah, universiti, dan tahun pengajian. Perbezaan signifikan pandangan guru mengenai pelaksanaan SPK berdasarkan jantina, tempat kelahiran, pengajian lepas, universiti, tempoh pengalaman pengajaran bahasa Arab dan kelayakan akademik mereka turut cuba dikenal pasti. Kajian kuantitatif ini menggunakan reka bentuk kajian tinjauan deskriptif. Seramai 247 orang pelajar dan 25 orang pensyarah daripada Universiti Fatani, Universiti Prince Songkhla dan Universiti Princess Narathiwat di selatan Thailand dipilih melalui teknik pensampelan rawak berstrata. Data kajian dipungut dengan menggunakan soal selidik SPK yang dibina dan diuji kesahannya oleh 5 orang pakar. Soal selidik itu terdiri daripada 81 item dan 7 konstruk SPK iaitu pelajar, pensyarah, kurikulum pengajian, pengurusan universiti, program pengajian, kemudahan fizikal, dan hubungan universiti-kornuniti. Penganalisisan data dilakukan dengan menggunakan statistik deskriptif min dan sisihan piawai, ujian t dan ujian ANOVA sehala. Dapatan kajian menunjukkan kesepakatan respons pelajar dan pensyarah pada ketinggian tahap kualiti proses pembelajaran. Kajian juga menunjukkan tidak terdapat perbezaan signifikan pada amalan SKP berdasarkan jantina, tempat lahir dan tempat pengajian pelajar. Namun terdapat perbezaan signifikan pada semua konstruk SPK berdasarkan jenis sekolah pelajar kecuali pada konstruk hubungan universiti dengan masyarakat. Juga terdapat perbezaan signifikan pada konstruk kualiti pelajar, kurikulum pengajian, pengurusan universiti dan kemudahan fizikal berdasarkan jenis universiti pelajar, serta perbezaan signifikan pada kesemua konstruk SPK berdasarkan tahun pengajian pelajar. Bagi pensyarah pula, terdapat perbezaan signifikan pada konstruk kualiti pentadbiran universiti berdasarkan jantina dan pengajian Jepas pensyarah. Kajian ini menunjukkan bahawa hasil dapatannya adalah selari dengan kajian lepas dan bertepatan dengan teori pendidikan. Justeru, tumpuan perlu diberikan untuk meningkatkan status pembelajaran bahasa Arab bagi menjamin kualitinya berada pada tahap yang sangat tinggi.
|