| Summary: | Berdasarkan statistik yang telah dikeluarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada tahun 2018, kebanyakan penagih dadah adalah beragama Islam. Di Malaysia, terdapat banyak pusat rawatan pemulihan dadah berteraskan Islam telah ditubuhkan. Salah satunya adalah Pondok Remaja Inabah, Terengganu. Kaedah rawatan pemulihan yang berteraskan psikospiritual Islam di Pondok Remaja Inabah telah terbukti berkesan dalam merawat ketagihan dadah. Namun, terdapat kajian lepas menunjukkan bahawa tahap pengetahuan dan amalan Islam dalam kalangan penagih adalah rendah. Justeru, kajian ini dijalankan untuk menentukan tahap pengetahuan dan amalan Islam, mengenalpasti sosidemografi serta menilai hubungan tahap pengetahuan dan amalan Islam dengan sosiodemografi dalam kalangan penagih dadah di Pondok Remaja Inabah, Terengganu. Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif dengan menggunakan soal selidik latar belakang sosiodemografi serta Skala Keagamaan Islam Hatta 1996. Setelah mengambil kira 10 peratus keciciran saiz sampel, seramai 62 responden telah dipilih menggunakan kaedah pensampelan rawak mudah. Pengkaji telah menggunakan perisian SPSS versi 20.0 untuk menganalisis data. Keputusan dinyatakan dalam bentuk frekuensi dan peratusan untuk kategori data manakala min dan isihan piawai untuk data numerikal. Keputusan kajian menunjukkan tahap pengetahuan dan amalan Islam dalam kalangan responden berada pada tahap yang tinggi. Analisis regresi pelbagai menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara tahap pengetahuan dan amalan Islam yang tinggi dengan umur, tempoh masa rawatan di Pondok Remaja Inabah dan keruntuhan institusi perkahwinan. Kesimpulannya, tahap pengetahuan dan amalan Islam yang tinggi dalam kalangan responden didorong oleh kaedah rawatan yang menekankan aspek kerohanian. Umur, tempoh masa rawatan yang lama dan pengalaman hidup yang buruk seperti keruntuhan institusi perkahwinan menjadi faktor kepada pengetahuan dan amalan Islam yang tinggi dalam kalangan responden di Pondok Remaja Inabah.
|