| Summary: | Ketiadaan akta berkaitan pengiktirafan patuh syariah koperasi menyebabkan penguatkuasaan dan pemantauan aspek-aspek syariah koperasi-koperasi di Malaysia tidak konsisten dan tidak seragam. Setakat ini, pengiktirafan dan pemantauan patuh syariah ke atas koperasi-koperasi hanya dijalankan oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) melalui program Sijil Patuh Syariah (SPS) di mana program tersebut hanya fokus ke atas produk-produk pembiayaan. Koperasi Kakitangan Kerajaan Terengganu (KOKITAB) Berhad merupakan di antara koperasi yang memperoleh SPS. Namun ketiadaan akta yang mengawal selia urusan patuh syariah koperasi serta skop SPS yang belum meluas menimbulkan persoalan bagi aktiviti dan kegiatan KOKITAB selain produk pembiayaan. Sehubungan itu, kajian ini bertujuan untuk menilai bukan hanya dari aspek produk pembiayaan, malah amalan dan kegiatan KOKITAB yang lain menurut perspektif lslam di mana hasil daripada kajian ini dapat menguatkan lagi pengiktirafan patuh syariah oleh ANGKASA serta dikemukakan cadangan-cadangan yang boleh ditambah baik. Walau bagaimanapun berikutan kekangan ruang dan masa dalam kajian ini, hanya beberapa amalan dan kegiatan KOKITAB yang dipilih untuk dianalisis iaitu aspek keanggotaan, urus niaga jualan barangan, urus niaga perkhidmatan, urus niaga hartanah serta pemberian pembiayaan. Amalan dan kegiatan tersebut pula hanya dilihat dari aspek rukun, syarat dan kriteria akad muamalat. Kajian kualitatif ini menggunakan pendekatan penerokaan dan penerangan di mana teknik dokumentasi, teknik temu bual berstruktur, teknik pemerhatian serta teknik induktif, deduktif dan komparatif diguna dalam proses mengumpul dan menganalisis maklumat. Berdasarkan analisis dan perbandingan yang dijalankan ke atas amalan dan kegiatan KOKITAB dalam kajian ini, didapati aktiviti-aktiviti tersebut kesemuanya menepati rukun, syarat dan kriteria yang telah digariskan oleh syarak serta selari dengan prinsip-prinsip kewangan lslam iaitu adil dan bebas daripada unsur-unsur riba, gharar, maysir serta helah. Pandangan pakar-pakar muamalat yang diperoleh di dalam kajian ini juga selari dengan dapatan tersebut sekaligus menguatkan lagi pengiktirafan KOKITAB yang telah memperoleh SPS daripada ANGKASA kerana kajian ini tidak hanya melihat aspek produk pembiayaan koperasi, malah kegiatan-kegiatan lain yang turut terikat dengan hukum syarak.
|