| Summary: | Sesungguhnya kebenaran dan kebatilan sentiasa bertembung semenjak Allah mencipta bumi dan penghuninya sehingga hari kiamat. Dalam pertembungan tersebut, para diktator telah menggunakan pelbagai pendekatan komunikasi dan pendekatan tindakan dalam berhadapan dengan golongan yang benar. Metodologi komunikasi merupakan pendekatan yang terpenting dalam berhadapan dengan orang ramai dan paling memberi impak kepada manusia. Rentetan dari itu, kekaburan dan kejahilan terhadap metodologi komunikasi ini serta kekurangan penulisan tentangnya boleh menyebabkan seseorang cepat terpedaya dan mudah mempercayainya. Oleh yang demikian, penulis ingin memperjelaskan tentang metodologi komunikasi para diktator dan mengesahkan berulangnya penggunaan metodologi komunikasi seumpama ini dalam realiti kehidupan kontemporari. Seterusnya, memperjelaskan sejauh mana kesannya terhadap manusia. Kajian ini merupakan kajian kualitatifyang menggunakan pendekatan analisis dokumen. Kajian ini telah mengumpulkan ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan kisah Firaun. Dalam menganalisis ayat-ayat tersebut, kajian ini telah menggunakan kaedah induktif dengan mengkaji pentafsiran-pentafsiran ulama terhadap ayat-ayat tersebut bagi mengeluarkan kesimpulan umum ten tang metodologi komunikasi para diktator. Kajian ini turut merujuk kepada buku-buku kontemporari, akhbar-akhbar, majalah-majalah ilmiah dan artikel-artikel untuk membuktikan bahawa berulangnya metodologi komunikasi ini dalam realiti kehidupan semasa. Hasil dari kajian ini mendapati bahawa Firaun telah menggunakan metodologi komunikasi yang pelbagai untuk berhadapan dengan Musa seperti memesongkan hakikat sebenar, memanipulasi, membuat penipuan, menawarkan habuan atau sogokan dan menghancurkan jati diri. Kajian ini juga mendapati metodologi komunikasi yang diaplikasikan oleh Firaun ketika berhadapan dengan Nabi Musa turut digunakan oleh pihak-pihak tertentu dalam berhadapan dengan ahli kebenaran pada hari ini. Perbezaan yang wujud hanya dari segi medium penyampaian komunikasi sahaja memandangkan setiap zaman mempunyai medium penyampaian masing-masing. Metodologi komunikasi ini telah memberi kesan yang besar kepada masyarakat sehingga lahirlah masyarakat yang mudah tertipu, tidak mampu membezakan di antara kebenaran dan kebatilan serta terpedaya dengan metodologi tersebut. Akibatnya, mereka berpihak kepada para diktator dan membantu mereka dalam berhadapan dengan ahli kebenaran.
|