| Summary: | Dalam usaha membuktikan para muhaddithin tidak mengabaikan penilaian matan, para pengkaji menjelaskan piawaian-piawaian penilain matan seperti pertentangan sesuatu hadis dengan al-Quran, Sunnah, asas-asas agama dan logik akal. Piawaian-piawaian ini juga sangat berguna dalam mengekang penyebaran hadis palsu. Malangnya, piawaian-piawaian ini dijadikan sebagai senjata baru untuk menolak sebahagian hadis. Penyelidik memilih untuk mengkaji sumbangan buku Naqd al-Manqul dengan harapan menjadi serampang dua mata yang boleh mengekang penyebaran hadis-hadis palsu dan mengawal penolakan hadis dengan sewenang -wenang dengan alasan penilaian matan. Buku ini merupakan karya Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah (IQJ) yang dianggap oleh para pengkaji sebagai buku terbaik dalam penilaian matan hadis. Kajian ini dijalankan melalui kaedah analisis kandungan secara kualitatif. Dalam menilai kepalsuan sesuatu matan hadis, Imam IQJ telah menentukan beberapa piawaian, yang penyelidik simpulkan kepada tujuh piawaian. Tujuan piawaian tersebut ialah hadis yang bercanggah dengan al-Qur'an, Sunnah, asas agama, fakta sejarah, logik, realiti dan hadis yang tidak nampak seperti sabdaan atau perbuatan Nabi s.a.w. Piawaian-piawaian ini boleh diaplikasikan ke atas semua hadis bagi para ulamak yang memenuhi syarat penilai matan hadis. Dia mestilah seorang yang mahir dengan al-Qur'an, matan-matan hadis, ilmu Mustalah, ilmu al-Jarh wa al-Tadil , Sirah Nabawi, mahir dalam bahasa arab, seorang faqeh yang memahami Maqasid Shariah dan mahir dengan hadis-hadis palsu. Selain itu dia mestilah seorang yang adil, ikhlas, tidak dipengaruhi dan merujuk terlebih dahulu kepada para ulama terdahulu dalam menentukan kepalsuan sesuatu hadis. Imam IQJ juga menyatakan sebanyak lima puluh dua Rumusan Am Kepalsuan Matan Hadis (RAKM). Kesemua RAKM ini adalah natijah penilaian yang menyeluruh terhadap sanad dan matan hadis-hadis yang dirangkumi RAKM ini. Ini kerana hasil dapatan penyelidik menunjukkan bahawa sebanyak tiga puluh empat daripada RAKM tersebut adalah kerana permasalahan sanadnya sahaja. Manakala bakinya lagi, iaitu lapan belas RAKM adalah kerana permasalahan sanad dan matannya bersama. Tidak ada satu pun daripada RAKM ini yang bersumberkan kepada permasalahan matan semata-mata. Kajian ini jelas menunjukkan besarnya sumbangan kitab Naqd al-Manqul dalam mengenali hadis palsu berdasarkan matan. Ia juga menunjukkan perkaitan yang sangat rapat antara penilaian matan dan penilaian sanad, kerana realitinya ialah matan yang bermasalah adalah daripada sanad yang bermasalah.
|