| Summary: | Takwim merupakan sistem unit masa yang dibangunkan manusia bagi menjalankan urusan harian. Unit masa ini disusun berdasarkan fenomena astronomi dan dipaparkan dalam bentuk jadual. Fungsi takwim bukan sahaja melibatkan ibadat, bahkan juga bersangkutan dengan aktiviti sosiobudaya masyarakat setempat. Kepentingan penggunaannya menjadikan takwim antara produk falak yang utama. Takwim Hijiri Terengganu diterbitkan setiap tahun bagi kegunaan masyarakat dalam kehidupan seharian. Penerbitan ini tidak tertumpu kepada bidang agama semata-mata, bahkan merangkumi segala bidang yang berkaitan dengan sains dan sosiobudaya. Walau bagaimanapun, penglibatan unsur-unsur sains dalam takwim menjadikan paparan takwim begitu kompleks dan mempengaruhi keberkesanan penyampaian kepada masyarakat. Kajian ini membincangkan persepsi masyarakat setempat terhadap penggunaan Takwim Hijiri Negeri Terengganu merangkumi soal kekerapan dan kefahaman mereka terhadap beberapa unsur falak. Kaedah kajian ini melibatkan penyelidikan kuantitatif yang bersifat numerikal dan kualitatif dengan menggunakan kaedah temu bual tidak berstruktur serta pengumpulan data berbentuk dokumen. Kajian ini menggunakan sampel soal selidik yang melibatkan responden seramai 384 orang. Kajian ini mendapati bahawa penggunaan masyarakat adalah sederhana iaitu peratusan penggunaan harian tertinggi adalah satu kali sehari iaitu 36.5%, walaupun jumlah pengeluarannya semakin meningkat setiap tahun. Di samping itu, golongan dewasa adalah yang selalu merujuk beberapa bahagian takwim dengan peratus tertinggi iaitu antara 30% hingga 40%. Selain itu, kefahaman masyarakat tentang ilmu falak adalah sederhana tertumpu kepada golonga berumur 50 ke atas, berpendidikan tinggi dan bekerja profesional dengan peratus maksimum hingga 60%. Penganalisisan kuantitatif kajian ini lebih tertumpu kepada kekerapan masyarakat menggunkan Takwin Hijiri Terengganu dari sudut genetik, pendidikan dan pekerjaan. Ujian korelasi Spearman menunjukkan terdapat korelasi signifikan antara paparan Takwim Hijiri Terengganu dengan aktiviti masyarakat yang menggunakan takwim Hijiri. Hasil ujian Kruskal-Wallis H menunjukkan terdapat perbezaan signifikan dalam aspek jantina dan umur responden. Ujian Khi Kuasa Dua dalam jadual kontigensi dua hala bahagian kerap rujuk Takwim Hijiri Terengganu menunjukkan perbezaan signifikan dalam aspek jantina, umur dan tahap pendidikan. Bagi pemahaman penerangan falak ringkas ujian Khi Kuasa Dua menunjukkan perbezaan signifikan dalam aspek jantina, umur, status pendidikan dan pekerjaan. Penggunaan yang maksimum oleh masyarakat sangat penting bagi memenuhi matlamat penerbitannya. Takwim Hijiri yang ideal dan menarik sangat penting bagi memberi kepuasan ysng tinggi kepada masyarakat agar penggunaanya akan konsisten dalam semua urusan kehidupan seperti pertanian, perikanan, perniagaan, profesional dan sebagainya. Hasik kajian ini boleh digunakan oleh pihak berkuasa negeri untuk menambah baik paparan Takwim Hijiri Negeri Terengganu.
|