| Summary: | Pentaksiran memainkan peranan yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam bilik darjah. Proses pentaksiran yang berlaku lebih memberi penekanan kepada pentaksiran pensyarah tanpa melibatkan pentaksiran pembelajaran pelajar. Perhatian yang serius perlu diberikan kerana bakal guru dapat memanfaatkan diri mereka selaku pentaksir terhadap kerja mereka sendiri. Tujuan kali ini adalah untuk meneroka amalan pentaksiran pembelajaran iaitu pentaksiran untuk pembelajaran (PuP) (assesment for learning), pentaksiran sebagai pembelajaran (PsP) (assesment as learning), pentaksiran kepada pembelajaran (PkP) (assesment of learning) dan pentaksiran akhlak (PA) yang dilakukan dalam usaha mempertingkatkan pencapaian akademik dan membentuk akhlak pelajar. Penyelidikan ini merupakan kajian kualitatif yang berbentuk kajian kes. Kajian ini dijalankan di tiga buah Institut Pendidikan Guru (IPG) iaitu IPG Kampus Dato' Razali Ismail, IPG Kampus Sultan Mizan dan IPG Kampus Kota Bharu. Sampel dipilih secara bertujuan (purposive sampling) dengan melibatkan enam orang pensyarah dan sembilan orang pelajar. Triangulasi kaedah pengumpulan data dilaksanakan dengan menggabungkan data temu bual separa berstruktur sebagai data utama., pemerhatian, analisis dokumen dan perbincangan berkumpulan (focus group discussion) pelajar sebagai data sokongan. Data ini kemudiannya dianalisis menggunakan ATLAS.ti untuk menghasilkan tema dan kategori yang dilaporkan secara deskriptif dan interpretif. Kesahan dan kebolehpercayaan dilakukan melalui pengesahan pakar dan semakan peserta kajian (members check). Kajian ini mendapati, terdapat keseragaman dan ketidakseragaman amalan peserta kajian dalam pentaksiran pembelajaran. Dapatan kajian menunjukkan pengetahuan peserta kajian terhadap PuP, PsP, PkP dan PA memberikan pelbagai konotasi yang berbeza. Wujudnya kekeliruan tentang maksud dan istilah pentaksiran tersebut secara tepatnya kerana peserta kajian tidak dapat memberikan maksud yang jelas walaupun fungsinya masih menggunakan pentaksiran formatif dan sumatif. Amalan PuP, PsP, PkP dan PA peserta kajian menunjukkan pola berdasarkan kepada tujuan, kriteria, strategi, kualiti, maklumat dan alat pentaksiran. PuP menunjukkan dapatan untuk meningkatkan PdP dengan penggunaan pendekatan pedagogi seperti teaterikal (teaterical), nyanyian dan berpusatkan bahan (material oriented). PsP merupakan amalan dan tanggungjawab pelajar. Pelajar perlu diberi peranan untuk melakukan pentaksiran mengikut kreativiti mereka sendiri. PkP pula diamalkan untuk menilai pelajar bagi mendapatkan markah dan gred dalam tugasan, latihan dan aktiviti yang dilakukan. PA diamalkan bagi menerapkan nilai-nilai akhlak yang baik kepada pelajar melalui tingkah laku, cara berpakaian, sifat, sikap dan tutur kata yang baik dan sopan bagi membentuk keperibadian seseorang bakal guru.
|