| Summary: | Bay'ah merupakan salah satu elemen penting dalam proses pelantikan khalifah menurut sistem pemerintahan Islam. Tanpanya, pelantikan seseorang khalifah adalah tidak sah. Begitupun dalam pelaksanaan sistem demokrasi semasa, perbincangan tentang bay'ah seolah diabaikan tidak sebagaimana shura. Justeru, objektif utama kajian ini adalah untuk melihat sejauhmana kefahaman wakil-wakil rakyat terhadap bay'ah dalam konteks demokrasi di Malaysia. Untuk itu, kajian menjelaskan konsep dan kepentingan bay'ah dalam sistem politik Islam, memahami kedudukan janji taat setia dalam kerangka dan falsafah sistem demokrasi, mengenalpasti kewujudan elemen bay'ah dalam pelaksanaan sistem demokrasi di Malaysia, dan menganalisis kefahaman wakil-wakil rakyat terhadap bay'ah dalam sistem demokrasi di Malaysia. Pada asasnya kajian ini berbentuk kualitatif yang melibatkan kajian kepustakaan dan lapangan. Kajian kepustakaan melibatkan rujukan dari kitab muktabar, karya terpilih dan hasil kajian terdahulu sebagai asas maklumat kajian. Kajian lapangan pula dilakukan dengan menemubual Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu secara bersemuka bagi mengenalpasti tahap kefahaman mereka. Himpunan maklumat dan data yang diperolehi akan dianalisis secara induktif, deduktif dan komparatif bagi mengetengahkan beberapa isu terpenting demi melaksanakan bay'ah bersesuaian sistem politik di Malaysia. Kajian mendapati kontrak antara pemimpin dan rakyat wujud dalam sistem politik Islam dan demokrasi, ia hanya dibezakan oleh aspek ketuanan syarak yang menjadi teras kepada bay'ah. Justeru, ruang untuk melaksanakan bay'ah dalam sistem demokrasi adalah terbuka termasuklah di Malaysia. Kajian turut mendapati keseluruhan responden memberi tindakbalas positif terhadap kepentingan pelaksanaannya dalam sistem demokrasi. Para responden secara amnya mempraktikkan bay'ah walaupun tahap pengetahuan mereka terhadap bay'ah adalah terbatas . Implikasi kajian ini memutuskan bahawa kefahaman secara terperinci terhadap bay'ah mampu mengukuhkan pentadbiran dalam sistem demokrasi di Malaysia agar dapat berjalan secara lebih efisyen. Ini pastinya boleh meningkatkan lagi tahap integriti di kalangan pemimpin politik sekaligus dapat menjamin kestabilan negara. Justeru, kajian ini meyakini bahawa usaha berterusan untuk menerapkan nilai-nilai sejagat yang ada pada bay'ah mampu meningkatkan kefahaman di kalangan ahli politik serta masyarakat awam di Malaysia.
|