| Summary: | Memandangkan keadaan kesihatan masyarakat Malaysia semakin merosot (Ministry of Health Malaysia, 2008) satu alternatif baru perlu dicari sebagai panduan ke arah pembinaan kesihatan yang lebih baik. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji secara mendalam amalan kesihatan Rasulullah s.a.w sebagai contoh penjagaan ideal, ringkas dan seimbang. Kajian ini adalah kajian kualitatif dan kuantitatif menggunakan data perpustakaan dan data tinjauan lapangan. Data perpustakaan diperolehi dengan mengumpulkan hadis-hadis berkaitan amalan kesihatan Nabi s.a.w daripada kitab-kitab hadis, syamail, sirah dan sebarang penulisan berkaitan dengan tajuk ini diulas dan dikupas mengikut kesesuaiannya. Manakala data tinjauan lapangan diperolehi melalui borang soal selidik yang diedarkan kepada 370 orang respondan dan di semua daerah di Negeri Terengganu untuk meninjau sejauh manakah penjagaan kesihatan diri berteraskan sunnah diamalkan oleh masyarakat Islam dalam kehidupan mereka. Tinjauan soal selidik memfokuskan empat perkara iaitu mental dan emosi, pemakanan, fizikal dan kerohanian. Data tinjauan lapangan ini dianalisis secara diskriptif dengan kaedah analisis min, peratus dan skor min menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS). Hasil kajian diperolehi merumuskan Pentakrifan kesihatan Islam dalam konteks yang lebih menyeluruh dibandingkan kesihatan moden berasaskan tujuan kejadian manusia yang merangkumi kesihatan spritual (al-Din), fizikal (al-Nafs), mental (al-Aql), keturunan (al-Nas), maruah (al-Irdh) dan akhlak yang sahih menurut Syariah. Paduan sebelas prinsip penjagaan kesihatan adalah teras utuh kepada pembinaan kesihatan unggul Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w juga meraikan sesuatu amalan sesuai dengan waktunya, kehidupan berasaskan fitrah dan disiplin hidup yang tinggi mendorong membina kesihatan yang ideal. Min penjagaan kesihatan berteraskan sunnah dalam masyarakat Islam Terengganu bagi mental dan emosi adalah 3.26, pemakanan 2.81, fizikal 2.24 dan kerohanian 2.84. Secara keseluruhannya adalah pada kadar yang sederhana iaitu min keseluruhan sebanyak 2.79. Kajian ini berjaya menghasilkan satu pentakrifan baru makna kesihatan yang lebih luas meliputi akhlak dan rohani. Kajian ini juga memberi satu alternatif dalam memodelkan gaya hidup sihat yang lengkap ke arah pembinaan kesihatan yang sempurna yang sewajarnya menjadi perhatian dan pedoman pihak-pihak yang ingin mencari model gaya hidup yang sihat.
|