| Summary: | Kajian ini menilai pelaksanaan komponen pembangunan modal insan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Negeri Terengganu. Fokus kajian adalah untuk meneliti sama ada program yang dilaksanakan mampu melahirkan modal insan seperti yang dikehendaki. Objektif kajian ini adalah untuk mengenalpasti jenis-jenis program pembangunan modal insan yang dilaksanakan oleh KEMAS; mengenalpasti komponen utama dalam pelaksanaan program pembangunan modal insan KEMAS; dan menganalisis tahap sambutan masyarakat luar bandar terhadap pelaksanaan komponen pembangunan modal insan. Pengkaji menggunakan kaedah penyelidikan kualitatif dengan menemu bual dua puluh empat (24) orang informan utama (key respondent) secara tidak berstruktur. Informan yang ditemu bual terdiri daripada kategori perancang, pelaksana dan peserta program. Data dianalisis dengan menggunakan Computer-Assisted Qualitative Data Analysis Software (CAQDAS) berdasarkan perisian NVivo8. Pelaksanaan program dianalisis berdasarkan empat komponen utama iaitu pembangunan kerohanian, pembangunan ilmu, pembangunan sosial/manusia dan pembangunan mapan/lestari. Komponen-komponen utama ini telah dibahagikan kepada empat belas subkomponen. Komponen dan subkomponen dikoding berdasarkan Free Nodes dan Tree Nodes dan dikod sebagai Reference. Hasil kajian mendapati KEMAS telah melaksanakan komponen pembangunan modal insan sama ada di peringkat perancangan, pelaksanaan mahupun peserta. Pelaksanaan komponen pembangunan ilmu adalah yang paling tinggi iaitu sebanyak 707 reference (42.04%). Pelaksanaan program pembangunan modal insan yang kedia tinggi ialah komponen pembangunan sosial/manusia dengan jumlah sebanyak 596 reference (35.43%). Ini diikuti oleh komponen pembangunan kerohanian, 236 reference (14.03%) dan komponen pembangunan mapan/lestari 143 reference (8.50%). Kajian ini akhirnya mencadangkan supaya kajian serupa dilakukan terhadap peranan ahli jawatankuasa aktiviti KEMAS yang ditubuhkan secara sukarela turut memberi sumbangan dalam merancang dan melaksanakan aktiviti KEMAS. Kajian seperti ini dapat memperkukuhkan lagi hasil kajian memandangkan setiap aktiviti KEMAS mempunyai jawatankuasa aktiviti dan memainkan peranan penting dalam melaksanakan program pembangunan modal insan KEMAS.
|