| Summary: | Anak tidak sah taraf lazimnya dikaitkan dengan kanak-kanak yang dilahirkan di luar perkahwinan yang sah dan biasanya melalui hubungan seks luar nikah ataupun zina. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu, kelahiran anak tidak sah taraf paling banyak dilaporkan berlaku di daerah Kuala Terengganu berbanding daerah-daerah lain. Berdasarkan situasi semasa ini, Exco Agama Kerajaan Negeri Terengganu mencadangkan anak tidak sah taraf ini didaftarkan kepada bapanya dalam sijil kelahiran bagi mengelakkan persepsi negatif daripada orang ramai. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk mendapatkan persepsi sebenar masyarakat Islam di Terengganu terhadap anak tidak sah taraf. Apakah persepsi mereka adalah begitu negatif sehinggakan cadangan untuk dibin dan dibintikan anak-anak tersebut kepada bapa biologinya perlu diutarakan. Sejumlah 437 responden telah dipilih untuk sampel kajian ini. Untuk mengumpul maklumat mengenai persepsi mereka, instrumen yang digunakan adalah soal selidik. Data yang diperolehi daripada soal selidik yang diedarkan dianalisis berdasarkan objektif dan persoalan kajian yang menggunakan SPSS (Service Package for Science Social) versi 19.0. Kajian mendapati bahawa pembolehubah persepsi (pembolehubah bersandar) menunjukkan min yang tinggi (M = 4.57, SP = 0.62). Ini mencerminkan persepsi positif daripada responden terhadap perkara-perkara yang berkait rapat dengan anak luar nikah. Oleh itu, cadangan yang dikemukakan oleh Exco Agama tersebut adalah satu yang tidak perlu.
|