Pembentukan, kebolehpercayaan dan kesahihan indeks saringan diet bagi penilaian risiko kanser payudara (MyDietrisk - BCa)

Diet yang tinggi lemak, gula dan kurang sayur dan buah-buahan merupakan sebahagian daripada budaya di Malaysia dan mungkin menyumbang kepada peningkatan risiko penyakit kanser payudara. Oleh itu, penyelidikan ini bermatlamat untuk membentuk indeks saringan diet yang boleh dipercayai dan sahih dalam...

Full description

Bibliographic Details
Main Author: Mohd Razif Shahril (Author)
Corporate Author: Universiti Sultan Zainal Abidin . Faculty of Health Sciences
Format: Thesis Book
Language:Malay
Subjects:
Description
Summary:Diet yang tinggi lemak, gula dan kurang sayur dan buah-buahan merupakan sebahagian daripada budaya di Malaysia dan mungkin menyumbang kepada peningkatan risiko penyakit kanser payudara. Oleh itu, penyelidikan ini bermatlamat untuk membentuk indeks saringan diet yang boleh dipercayai dan sahih dalam menilai risiko kanser payudara di kalangan wanita di Kuala Lumpur. Ini dicapai melalui empat kajian iaitu kajian epidemiologi pemakanan bagi kanser payudara, kajian pembentukan, kajian kebolehpercayaan dan kajian kesahihan indeks saringan diet bagi penilaian risiko kanser payudara. Kajian pertama iaitu kajian epidemiologi bagi kanser payudara dijalankan bagi mengenal pasti faktor diet dan epidemiologi iaitu faktor reproduktif, sejarah keluarga dan gaya hidup yang mungkin menyumbang kepada kanser payudara pra- dan pascamenopaus. Ia dijalankan melalui kajian kes kawalan retrospektif di kalangan 764 wanita yang terdiri daripada 216 pasang subjek kes kawalan pramenopaus dan 166 pasang subjek kes kawalan pascamenopaus. Hasil kajian tersebut menunjukkan diet tinggi gula (pra- dan pascamenopaus), roti canai (pramenopaus sahaja), biskut, kek dan pastri (pramenopaus sahaja) dan kuah bersantan (pramenopaus sahaja) didapati boleh meningkatkan risiko kanser payudara. Manakala diet tinggi serat diet (pra- dan pascamenopaus), beta karotena (pra- dan pascamenopaus), vitamin c (pramenopaus sahaja), buah-buahan (pra- dan pascamenopaus), ikan laut (pascamenopaus sahaja), produk soya (pascamenopaus sahaja) dan sayur masak sup (pra- dan pascamenopaus) didapati boleh menurunkan risiko kanser payudara. Risiko kanser payudara juga dipengaruhi oleh sejarah kehamilan (pra- dan pascamenopaus), bilangan anak (pramenopaus sahaja) dan sejarah keluarga (pra- dan pascamenopaus). Seterusnya, kajian kedua dijalankan bagi membentuk sebuah indeks saringa diet bagi penilaian risiko kanser payudara. Sebuah indeks yang mempunyai 20 item telah dibentuk khusus mengikut status menopaus dan diberi nama MyDIETRISK-BCa. Skor ditetapkan mengikut pemberat Odds Ratio yang diketahui dan nilai titik penentu ditentukan menggunakan analisis Receiver Operating Characteristics dengan skor yang lebih tinggi melambangkan risiko kanser payudara yang lebih rendah. Ahli profesional kesihatan (n=10) dan pesakit kanser payudara (n=10) telah menilai MyDIETRISK-BCa bagi kesahihan permukaan. Kesahihan kandungan mendapati indeks saringan diet patuh kepada Garis Panduan Diet Malaysia dan saranan untuk mencegah kanser daripada WCRF/AICR. Indeks saringan diet MyDIETRISK-BCa seterusnya diuji kebolehpercayaannya di kalangan pengguna (n=96) dalam kajian ketiga. Hasil kajian tersebut mendapati MyDIETRISK-BCa menunjukkan kebolehpercayaan yang tinggi daripada aspek ketepatan respons bagi komponen diet dengan klasifikasi tepat sebanyak 90% hingga 99% dan salah klasifikasi maksimum sebanyak 10% apabila dibandingkan dengan kaedah rujukan iaitu soal selidik kekerapan pengambilan makanan. Ia juga mempunyai kestabilan yang baik dengan nilai korelasi koefisien Pearson sebanyak 0.873 dan kekonsistenan dalaman yang tinggi dengan nilai Alfa-Cronbach sebanyak 0.871 dalam penilai kebolehpercayaan. Akhirnya, kajian keempat pula menilai kesahihan indeks saringan diet MyDIETRISK-BCa bagi penilaian risiko kanser payudara di kalangan 377 orang wanita yang menjalani prosedur sitologi aspirasi jarum halus (FNAC) dan disahkan oleh laporan histopatologi. Hasil menunjukkan MyDIETRISK-BCa mempunyai sensitiviti (79-80%), spesifisiti (85-91%), nilai ramalan positif (66-83%) dan negatif (89-92%) yang baik serta persetujuan yang boleh diterima (k=0.611-0.704) selain kesahihan konstruk yang tinggi (p<0.001) apabila mampu membezakan kumpulan yang berisiko tinggi dan rendah terhadap kanser payudara dengan baik. Ia juga mempunyai ketepatan berdiskriminasi yang tinggi dalam julat daripada 0.836 hingga 0.891. Kesimpulannya, indeks saringan diet MyDIETRISK-BCa yang dibentuk, boleh dipercayai dan sahih ini dapat mengelaskan individu kepada kumpulan risiko kanser payudara yang tinggi atau rendah. Sebagai sebuah alat yang pantas, mudah dan tidak invasif, MyDIETRISK-BCa boleh digunakan bagi tujuan saringan awal kanser payudara di Malaysia.
Physical Description:xxvii, 492 leaves : ill. ; 30 cm.
Bibliography:Includes bibliographical references (leaves 423-460)