Summary: | Kegagalan masyarakat Islam menguruskan harta peninggalan akan menyebabkan harta pusaka orang Islam dibekukan. Pengurusan harta peninggalan menurut Islam tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa pengetahuan asas mengenai hak-hak harta peninggalan si mati. Kajian ini bertujuan membincangkan mengenai hak-hak harta peninggalan menurut Islam dan meninjau pengetahuan masyarakat Islam di Pulau Duyong, Kuala Terengganu tentang hak-hak harta peninggalan, sumber bagi memperolehi pengetahuan tersebut dan pelaksanaannya. Kajian ini adalah kajian kualitatif menggunakan data perpustakaan dan data tinjauan lapangan dengan pendekatan kuantitatif. Data perpustakaan diperolehi dengan mengumpul dan membahas perbincangan para ulama mengenai konsep, hukum-hakam dan kedudukan hak-hak harta peninggalan. Manakala data tinjauan lapangan diperolehi melalui borang soal selidik yang diedarkan kepada 345 orang responden di Pulau Duyong, Kuala Terengganu untuk meninjau pengetahuan masyarakat Islam tentang hak-hak harta peninggalan, sumber bagi memperolehi pengetahuan tersebut dan cara pelaksanaannya. Data tinjauan lapangan ini dianalisis secara deskriptif dengan kaedah analisis min, sisihan piawai, peratus dan skor min menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS). Hasil kajian yang diperolehi merumuskan bahawa majoriti masyarakat Islam di Pulau Duyong, Kuala Terengganu memiliki pengetahuan yang sederhana tentang hak-hak harta peninggalan. Sumber pengetahuan ini pula banyak diperolehi melalui kaedah pengajian tidak formal seperti melalui pengajian di masjid dan surau. Dari sudut pelaksanaannya pula, masyarakat Islam didapati berusaha untuk menguruskan harta peninggalan ini sejajar dengan tuntutan syarak. Kajian ini merumuskan bahawa masyarakat Islam sangat perlu didedahkan tentang pengetahuan hak-hak harta peninggalan secara lebih sistematik. Ini kerana pengetahuan tersebut dapat membantu masyarakat Islam menguruskan hak-hak si mati dengan lebih lancar, seterusnya dapat mengelakkan harta umat Islam daripada dibekukan.
|