Penilaian kandungan teks novel mata pelajaran Kesusasteraan Melayu berdasarkan Gagasan Persuratan Baru

Kajian ini mengamati adanya polemik dan pertikaian tentang kualiti kandungan teks-teks novel mata pelajaran Kesusasteraan Melayu, sebagaimana yang terserlah dalam kajiankajian ilmiah sedia ada. Di satu pihak, novel-novel yang dipilih sebagai teks dianggap sesuai kerana menyampaikan ilmu, memapark...

Full description

Bibliographic Details
Main Author: Hassan@Zulkifli, Muhammad Zarif
Format: Thesis
Language:English
Published: 2022
Subjects:
Online Access:http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/114360/
http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/114360/1/114360.pdf
Description
Summary:Kajian ini mengamati adanya polemik dan pertikaian tentang kualiti kandungan teks-teks novel mata pelajaran Kesusasteraan Melayu, sebagaimana yang terserlah dalam kajiankajian ilmiah sedia ada. Di satu pihak, novel-novel yang dipilih sebagai teks dianggap sesuai kerana menyampaikan ilmu, memaparkan nilai-nilai murni dan bertepatan dengan matlamat pendidikan negara. Di pihak yang lain, novel-novel yang terpilih itu dikatakan tidak mengandungi ilmu, serta memaparkan nilai-nilai yang bertentangan dengan Islam dan skema moral yang diperakukan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan Sukatan Pelajaran Kesusasteraan Melayu (SPKM). Dengan permasalahan ini, kajian ini menggariskan tiga objektif, iaitu menganalisis isi kandungan novel-novel yang dipilih sebagai teks mata pelajaran Kesusasteraan Melayu, menghuraikan nilai-nilai yang dimanifestasikan dalam novel-novel itu, dan menilai kandungan novel-novel yang berdasarkan gagasan Persuratan Baru. Kajian ini meneliti lima novel teks mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dari tahun 1992 hingga kini, iaitu Mereka Yang Tertewas karya Hasanuddin Md. Isa, Restu karya Ismail Kassan, Jeriji Kasih karya Ramlah Abd. Rashid, Dari Lembah Ke Puncak karya Ghazali Lateh dan Naratif Ogonshoto karya Anwar Ridhwan. Bagi meneliti teks-teks ini, kajian menggunakan analisis teks sebagai metodologi kajian dengan menerapkan Persuratan Baru (PB) sebagai kerangka analisis. PB menawarkan alat-alat analisis yang praktikal bagi tujuan analisis teks iaitu “Paksi Naratif”, “Ruang Naratif”, “Isian Wacana”, “Isian Cerita” dan “Taklif” (Kebertanggungjawaban manusia dengan janji untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT). Dengan menerapkan alat-alat analisis PB, kajian ini dapat memperincikan isi kandungan novel-novel yang dikaji. Dalam konteks ini, kajian ini mendapati bahawa rata-rata novel yang dikaji memilih kejahatan dan kelemahan manusia sebagai “Paksi Naratif”. “Paksi Naratif” sedemikian didapati mempengaruhi pengisian “Ruang Naratif” novel-novel yang dikaji, yang ratarata diisi dengan “Isian Cerita” melalui manipulasi dua alat penceritaan yang dominan, iaitu aspek Watak dan aspek Plot. Isi kandungan novel yang sedemikian dengan sendirinya menjadikan soal kejahatan dan tingkah laku tidak bermoral sebagai manifestasi yang terserlah dengan ketara dalam novel-novel teks mata pelajaran Kesusasteraan Melayu yang dikaji. Seterusnya, kajian ini juga berhasil dalam menghuraikan nilai-nilai yang diperagakan dalam novel teks mata pelajaran Kesusasteraan Melayu yang dikaji. Dalam konteks ini, teks-teks yang dikaji didapati memperagakan nilai-nilai yang bukan sahaja bertentangan dengan Islam, tetapi turut bercanggah dengan skema moral sejagat yang diperakukan dalam FPK, KBSM, dan SPKM. Pemeragaan nilai-nilai negatif dan tidak bermoral ini jelas tidak memanifestasikan fitrah kejadian manusia yang diciptakan dengan kecenderungan untuk berbuat baik. Akhir sekali, kajian ini berpendapat bahawa isi kandungan lima novel yang dikaji tidak berkualiti. Penilaian ini diasaskan pada penemuan bahawa isi kandungan teks-teks yang dikaji memberi keutamaan kepada cerita berbanding ilmu dan lebih menonjolkan nilai-nilai yang negatif dan jahat yang bertentangan dengan ajaran Islam dan skema moral sejagat. Kajian ini diharap mampu menyumbang penyelesaian terhadap permasalahan berkaitan kualiti kandungan teks mata pelajaran Kesusasteraan Melayu.