| Summary: | PEKAN, 4 Oktober 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memperuntukkan sebanyak RM6.2 juta untuk kebajikan pelajar termasuk insentif kecemerlangan, insentif pendidikan, program keusahawanan dan mobiliti pelajar pada tahun ini.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar yang juga Pengerusi Yayasan UMPSA, universiti sangat komited memastikan kebajikan pelajar terus terjaga, terutama kalangan B40 yang merangkumi 66 peratus mahasiswa UMPSA.
Usaha yang digerakkan secara bersistematik dan berterusan oleh Yayasan UMPSA bersama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni sentiasa memastikan tiada mahasiswa UMPSA yang tercicir akibat daripada mempunyai kekangan atau masalah kewangan.
|