Perwakilan autoriti dalam proses perancangan : kajian di institusi masjid Bahagian Sri Aman / Saimi bin Bujang
Masjid merupakan institusi penting sebagai pusat perkembangan masyarakat Islam sehingga terbentuknya sebuah tamadun yang agung. Namun, peranan penting institusi masjid dewasa ini bagaimanapun menjadi persoalan dan mengundang kritikan dari pegawai-pegawai di institusi Islam dan di kalangan masyarakat...
| Summary: | Masjid merupakan institusi penting sebagai pusat perkembangan masyarakat Islam sehingga terbentuknya sebuah tamadun yang agung. Namun, peranan penting institusi masjid dewasa ini bagaimanapun menjadi persoalan dan mengundang kritikan dari pegawai-pegawai di institusi Islam dan di kalangan masyarakat Islam pada umumnya. Hal ini disebabkan oleh kegagalan institusi masjid untuk berfungsi sepenuhnya, akibatnya berlaku proses perwakilan autoriti yang kurang berkesan untuk merancang program pengimarahan masjid. Oleh itu, penyelidikan ini dilakukan untuk mencari penyelesaian bagi masalah yang timbul. Dalam hal ini, kesemua masjid di Bahagian Sri Aman dipilih dan kajian empirikal berkenaan subjek penyelidikan secara umumnya meliputi konsep perwakilan autoriti dan secara khususnya merangkumi
perancangan program untuk mengimarahkan masjid-masjid. Terdapat dua kaedah yang sering digunakan dalam penyelidikan ini iaitu kajian perpustakaan dan kajian lapangan. Kedua-dua kaedah tersebut melibatkan kaedah dokumentasi terhadap institusi masjid dan sejarah Bahagian Sri Aman serta konsep perwakilan dan proses perancangan, manakala kaedah yang kedua pula, melibatkan kaedah temubual terhadap pegawai-pegawai tertentu serta kaedah pemerhatian terhadap peranan Pejabat Agama Islam Bahagian Sri Aman dan juga terhadap perwakilan autoriti serta pelaksanaan
perancangan di masjid yang terpilih. Secara ringkasnya, analisis mendapati bahawa konsep dan pelaksanaan perwakilan autoriti secara jelas disalahfahami sehingga mengakibatkan berlakunya perancangan yang tidak teratur. Kebanyakan aktiviti yang dirancangkan hanya terhad kepada pengulangan sambutan hari kebesaran Islam dan program keagamaan yang
tidak mempunyai daya tarikan. Penyelidikan ini diharap dapat memberi penjelasan tentang bagaimana untuk merancang program pengimarahan masjid yang berkesan dan untuk membentuk kefahaman yang mantap terhadap kepentingan konsep perwakilan khususnya dalam bidang perancangan. |
|---|