Kesedaran, pengetahuan dan sikap masyarakat awam terhadap vaksin covid-19 konvensional dan berasaskan bioteknologi moden di Malaysia

Pandemik COVID-19 telah membawa anjakan paradigma terhadap peranan dan sumbangan bidang bioteknologi dalam mengekang penularan virus SARS-CoV-2 ini di seluruh dunia dengan penghasilan produk vaksin COVID-19 sama ada melalui kaedah konvensional mahupun berasaskan bioteknologi moden. Malaysia yang...

Full description

Bibliographic Details
Main Author: Azirul Hanif Sri
Format: Article
Language:English
Published: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia 2021
Online Access:http://journalarticle.ukm.my/17877/
http://journalarticle.ukm.my/17877/1/52300-171714-2-PB.pdf
Description
Summary:Pandemik COVID-19 telah membawa anjakan paradigma terhadap peranan dan sumbangan bidang bioteknologi dalam mengekang penularan virus SARS-CoV-2 ini di seluruh dunia dengan penghasilan produk vaksin COVID-19 sama ada melalui kaedah konvensional mahupun berasaskan bioteknologi moden. Malaysia yang kini menjalankan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah meluluskan pendaftaran bersyarat beberapa jenis vaksin untuk kegunaan semasa pandemik buat rakyatnya bagi mencapai tahap imuniti kelompok yang disasarkan. Justeru, kajian ini bertujuan untuk menilai tahap kesedaran, pengetahuan kendiri dan sikap masyarakat awam mengenai tiga jenis vaksin COVID-19 yang berbeza di Malaysia iaitu vaksin virus tidak aktif seperti Sinovac, vaksin vektor virus seperti AstraZeneca dan vaksin mRNA seperti Pfizer. Satu survei telah dijalankan menggunakan platform tinjauan atas talian ke atas masyarakat awam di Malaysia bermula daripada 19 Jun sehingga 2 Julai 2021. Daripada 357 responden, min umur adalah 34.75±10.35 dengan 67.2% daripadanya mempunyai latarbelakang pengajian berkaitan STEM. Hasil kajian menunjukkan bahawa tahap kesedaran awam terhadap ketiga-tiga jenis vaksin COVID-19 adalah tinggi, tetapi tahap pengetahuan kendiri mengenainya adalah sederhana. Secara umumnya, masyarakat awam di Malaysia menunjukkan sikap yang positif terhadap vaksin. Mereka menganggap ketiga-tiga vaksin ini sebagai mempunyai manfaat dan diterima agama pada tahap tinggi yang seterusnya diterjemahkan kepada perilaku penerimaan yang tinggi. Walaubagaimanapun, mereka turut mengakui kerisauan tentang risiko ketiga-tiga vaksin pada tahap sederhana. Dapatan kajian ini memainkan peranan yang penting dalam melihat tahap ketersediaan masyarakat Malaysia untuk menerima vaksin disamping dapat memberikan gambaran mengenai sikap semasa orang awam terhadap usaha vaksinasi yang diselaraskan oleh kerajaan Malaysia.