| Summary: | Terdapat banyak ayat tentang akad di dalam al-Quran, salah satu darinya berupa
perintah dari Allah kepada orang-orang beriman agar sentiasa memenuhi akad yang
dibuat, iaitu dalam surah al-Maidah ayat yang pertama. Kebanyakan orang Islam hari ini
memahami akad berupa ikatan ijab dan qabul dan dalam ruang-lingkup kekeluargaan
dan muamalat harta sahaja. Namun para mufassirin memahami akad dengan
merangkumi ikatan dengan Allah dan ikatan sesama manusia, tidak tertakluk dengan
ikatan dua pihak sahaja iaitu ijab dan qabul, sebaliknya merangkumi juga ikatan atau
komitmen sepihak. Maka kajian ini menganalisa akad menurut al-Quran berdasarkan
kefahaman ahli-ahli tafsir, bertujuan mendapat kepastian tentang konsep kesyumulan
akad dalam Islam dari sudut pandangan al-Quranul Karim. Bahan analisa ialah
pemikiran Hamka tentang akad di dalam tafsirnya al-Azhar sebagai bahan utama, di
samping pandangan-pandangan mufassir yang lain sebagai sokongan dan
perbandingan. Metode kajian ialah kualitatif, dengan rekabentuk analisis konten
(kandungan). Pengumpulan data membabitkan dua elemen iaitu kajian perpustakaan dan
temubual. Penganalisaan data pula menggunakan kaedah analisis deskripsi dan
kesimpulan dibuat mengggunakan kaedah induktif. Hasil kajian mendapati ciri-ciri
kesyumulan akad benar-benar terserlah dalam pemikiran Hamka ketika beliau
mentafsirkan beberapa ayat berkaitan akad di dalam al-Quran. Teori-teori tentang akad
yang dianalisa dari pemikiran Hamka merangkumi maksud akad, ruang-lingkup akad,
kategori-kategori akad dan prinsip-prinsip yang mendasari akad. Semuanya
menzahirkan natijah menyokong konsep kesyumulan akad di dalam Islam dilihat dari
perpektif al-Quranul Karim.
|