| Summary: | Projek memfokuskan penyaluran maklumat mengenai amalan norma baharu dan
pengamalan Prosedur Pengendalian Standard kepada seluruh rakyat Malaysia dalam
menghadapi pandemik Corona Virus Disease 2019 menerusi penghasilan Pengumuman
Khidmat Masyarakat berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18
Mac 2020, hinggalah ke peringkat Perintah Kawalan Pergerakan ke-2 yang masih
berlarutan hingga ke hari ini. Pendekatan PSA dipilih memandangkan ianya merupakan
kaedah yang paling mudah dan berkesan dalam penyampaian mesej secara meluas.
Melihat pada angka-angka jangkitan COVID-19 yang masih berada pada tahap empat
digit, masyarakat seakan-akan masih alpa dengan realiti hidup di era pandemik ini.
Justeru, PSA dihasilkan bertujuan untuk berkongsi cara-cara mudah agar masyarakat
lebih peka, senang mengingati dan mematuhi SOP yang telah dikuatkuasakan bagi
mencegah penularan COVID-19, seterusnya menyesuaikan diri dengan norma baharu.
Dalam menyampaikan mesej secara menarik dan berkesan, kaedah animasi yang dipilih
melibatkan penggunaan perisian komputer 2-Dimensi, suara latar dan juga bunyi latar
kreatif yang pelbagai. Penghasilan projek turut melibatkan tinjauan literatur yang relevan
dan juga penyelidikan terhadap berita perkembangan pandemik COVID-19 di Malaysia
dan seluruh dunia. Pada akhirnya, hasil utama projek adalah untuk memberi maklumat
yang secukupnya kepada masyarakat mengenai norma baharu yang perlu diamalkan bagi
meratakan lengkung jangkitan COVID-19 seperti mengamalkan penjarakkan sosial, tidak
bersentuhan, memakai pelitup muka, menggunakan pembersih tangan atau ‘sanitiser’ dan
menggunakan aplikasi MySejahtera untuk mendaftar diri dan tanggungan sebelum
melaksanakan urusan harian.
|